My Add

Monday 9 June 2014

Kerajaan Johor perlu perincikan LPHJ

KUALA LUMPUR, AHAD 08 Jun, 2014: Kerajaan negeri Johor perlu memperincikan rang undang-undang menubuhkan Lembaga Perumahan dan Hartanah Johor (LPHJ) kepada rakyat supaya tiada yang terkeliru dengan tugas raja seperti termaktub dalam sistem Raja Berperlembagaan.

Pensyarah Pusat Pengajian Undang-undang Universiti Utara Malaysia (UUM), Prof. Madya Dr. Rusniah Ahmad berkata, berdasarkan sistem Perlembagaan sedia ada, raja yang merupakan ketua negara akan bertindak mengikut nasihat badan eksekutif iaitu Perdana Menteri atau Menteri Besar.

"Contohnya, Yang di-Pertuan Agong, penasihatnya adalah Perdana Menteri manakala di peringkat negeri pula Menteri Besar yang akan menjadi penasihat kepada sultan.

"Asas tersebut merupakan sistem yang terpakai di negara ini. Namun, saya tidak pasti jika di Johor terdapat sistem lain yang mungkin negeri itu mempunyai alasan tersendiri untuk penubuhan LPHJ," katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.

Beliau mengulas cadangan kerajaan negeri Johor untuk membentangkan rang undang-undang baharu itu pada sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor esok yang akan memberi kuasa kepada sultan untuk terlibat secara langsung dalam pentadbiran kerajaan negeri.

Keputusan kerajaan negeri Johor itu mendapat reaksi pelbagai pihak yang rata-ratanya kurang bersetuju dengan cadangan tersebut kerana disifatkan hanya menambah kekeruhan situasi di negeri berkenaan sekiranya kedudukan Raja Berperlembagaan dikompromikan.

Menurut Rusniah, berdasarkan sistem Raja Berperlembagaan, raja atau sultan tidak perlu menyertai jawatankuasa berkenaan sebaliknya hanya bertindak selepas mendapat nasihat sewajarnya daripada badan eksekutif.

Jelasnya, berdasarkan doktrin pengasingan kuasa yang diamalkan di negara ini, doktrin terbahagi kepada tiga badan bebas yang menekankan kepada tiga kuasa relatif iaitu badan perundangan, badan eksekutif dan badan kehakiman.

"Tujuan doktrin pengasingan kuasa adalah untuk mengelakkan pertindihan bidang kuasa iaitu pihak yang sama tidak terlibat dalam pengurusan lebih daripada satu kuasa.

"Selain itu, ia untuk mengelakkan penyalahgunaan kuasa akibat pemusatan kuasa pada sesebuah badan tertentu dan membolehkan setiap badan bertindak tanpa diganggu atau dipengaruhi oleh badan lain," katanya. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment