My Add

Monday 9 June 2014

Penglibatan raja timbulkan masalah

KUALA LUMPUR, AHAD 08 Jun, 2014: Penglibatan raja-raja Melayu dalam soal pentadbiran kerajaan negeri dikhuatiri akan menimbulkan pelbagai masalah termasuk didakwa di mahkamah.

Bekas Ketua Hakim Negara, Tun Abdul Hamid Mohamad berkata, sekiranya terlalu kerap didakwa di mahkamah, kedudukan sultan atau seseorang raja akan tercemar.

"Apa yang disebut di dalam akhbar sudah cukup merunsingkan, adakah kita menghala ke arah membuang prinsip Raja Berperlembagaan dan mewujudkan semula raja yang berkuasa mutlak seperti di Brunei atau menghala ke arah anarki?

"Kita ada sembilan orang raja. Berapa hala kita akan dibawa," kata beliau ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.

Beliau mengulas cadangan kerajaan negeri Johor untuk membentangkan rang undang-undang baharu itu dalam sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor esok yang akan memberi kuasa kepada sultan untuk terlibat secara langsung dalam pentadbiran kerajaan negeri.

Abdul Hamid berkata, dari segi undang-undang, cadangan atau keputusan sedemikian perlu dibuat secara berhati-hati supaya tidak melanggar Perlembagaan Persekutuan dan Perlembagaan negeri.

"Penasihat Undang-undang tidak sepatutnya hanya melihat apa yang tertulis dan tidak tertulis dalam Perlembagaan Persekutuan dan Perlembagaan negeri. Konsep Raja Berperlembagaan mesti difahami," katanya.

Beliau berkata, sistem Raja Berperlembagaan sudah diterima rakyat dan raja sejak negara ini mencapai kemerdekaan malah telah menjadi satu kontrak antara kedua-duanya.

"Rakyat bersetuju menerima pemerintahan beraja dengan syarat kuasa raja-raja adalah seperti yang diperuntukkan oleh Perlembagaan dan raja-raja hanya akan bertindak dalam lingkungan bidang kuasa yang diberi kepadanya oleh Perlembagaan. Raja juga bersetuju dengan syarat-syarat itu," katanya.

Namun demikian katanya, kadang-kala berlaku salah faham mengenai peranan raja seperti dalam satu kes mahkamah syariah di sebuah negeri apabila hakim terlibat telah merujuk satu isu murtad untuk diputuskan oleh sultan.

"Itu satu kesilapan. Tidak ada sesiapa selain daripada hakim-hakim mahkamah itu (termasuk hakim itu sendiri) yang mempunyai bidang kuasa untuk memutuskan isu itu.

"Sultan adalah Raja Berperlembagaan dan tidak boleh disamakan dengan khalifah atau sultan pada zaman dahulu. Kuasa kehakiman telah pun diberi kepada mahkamah syariah. Itu perlu difahami," katanya. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment