My Add

Thursday 19 June 2014

Kerajaan sasar 5,000 anggota Super jaga kepentingan nelayan

 * ISMAIL Sabri Yaakob bersama sebahagian sukarelawan perikanan mengangkat tangan penuh semangat dalam majlis pelancaran penubuhan Super di Batu Maung, Pulau Pinang, semalam. - UTUSAN/sazali Che Din
PULAU PINANG, RABU 18 Jun, 2014: Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani menyasarkan 5,000 keanggotaan pasukan sukarelawan perikanan (Super) di seluruh negara bagi menjaga kepentingan golongan nelayan.

Menterinya, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, setakat ini, unit yang baharu ditubuhkan di bawah Jabatan Perikanan itu sudah mempunyai 600 anggota di negeri ini dan akan diperluas secara berperingkat di negeri-negeri lain.

Menurut beliau, penubuhan Super amat penting sebagai mata dan telinga kepada pihak berkuasa terhadap sebarang permasalahan kira-kira 60,000 nelayan di seluruh negara terutama berkaitan aktiviti pencerobohan di laut yang menjejaskan sumber pendapatan golongan tersebut.

Ketika ini tambahnya, tugas menjaga perairan termasuk isu berkaitan nelayan terletak di bawah bidang kuasa Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) sepenuhnya.

"Dalam masa sama, Maritim Malaysia perlu melihat kepada isu yang lebih besar seperti pencerobohan warga asing, penyeludupan dadah serta senjata dan sebagainya menyebabkan isu-isu nelayan seperti masalah pukat tunda terlepas pandang.

"Sebab itu kita berharap dengan penubuhan Super ini, isu-isu membabitkan nelayan secara langsung dapat dipantau dan seterusnya diselesaikan," katanya kepada pemberita selepas melancarkan penubuhan Super di Batu Maung dekat sini hari ini.

Menurut Ismail Sabri, penubuhan Super juga mengambil kira keluhan nelayan khususnya di zon A atau pesisir pantai yang terjejas pendapatan mereka ekoran pencerobohan nelayan pukat tunda.

Katanya, masalah pencerobohan nelayan pukat tunda dilihat semakin serius apabila pada setiap tahun, sebanyak 170,000 tan metrik anak ikan dengan nilai kira-kira RM1.5 bilion dinaikkan sekali gus menjejaskan sumber pendapatan masa depan nelayan di zon berkenaan.

Ditanya sama ada penubuhan anggota Super turut terikat dengan Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela), Ismail Sabri berkata, buat masa ini, Super hanya merupakan unit di bawah Jabatan Perikanan dan penubuhannya juga hanya menggunakan peruntukan daripada jabatan tersebut.

Walau bagaimanapun, beliau tidak menolak akan memperkasa Super supaya setanding dengan Rela pada masa depan sekiranya penubuhan unit itu memberi impak yang besar terhadap kesejahteraan dan masa depan golongan nelayan.

"Setakat ini, anggota Super hanya akan dibekalkan dengan jaket penguatkuasaan serta bot kerana kita tidak boleh sewenang-wenangnya menubuhkan sebuah pasukan penguatkuasaan dengan uniform baharu," katanya. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment