My Add

Friday 13 June 2014

Koo Ham cabar kesabaran umat Islam

KUALA LUMPUR, KHAMIS 12 Jun, 2014: Ahli Parlimen Beruas daripada DAP, Datuk Ngeh Koo Ham mencabar kesabaran umat Islam di negara ini apabila meminta mereka menghormati hak saudara seagama yang murtad untuk mengamalkan agama baharu.

Presiden Pertubuhan Jalur Tiga (Jati), Datuk Dr. Hasan Ali berkata, adalah tidak wajar bagi Koo Ham memutarbelitkan dan membuat tafsiran sendiri terhadap peruntukan-peruntukan yang terkandung dalam Perlembagaan Persekutuan.

"Tafsiran beliau jelas bertentangan dengan Perlembagaan Persekutuan, enakmen agama Islam di negeri-negeri dan yang paling penting bertentangan dengan kefahaman umat Islam tentang isu tersebut.

"Pandangan beliau juga adalah bertentangan dengan al-Quran dan as-sunnah yang menjadi asas utama dalam perundangan Islam," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Koo Ham mengeluarkan kenyataan kontroversi itu ketika membahaskan Rang Undang-undang Perbekalan Tambahan 2014 pada sidang Dewan Rakyat semalam.

Pengerusi DAP Perak itu berharap umat Islam di negara ini menerima peruntukan 11(1) Perlembagaan Persekutuan yang ditafsirkan beliau memberi hak mutlak kepada mana-mana individu untuk mengamalkan sesuatu agama.

Hasan memberitahu, tafsiran tersebut menunjukkan Koo Ham gagal memahami maksud sebenar peruntukan 11(1) yang perlu dibaca dengan Fasal (4) dan Fasal (5) Perlembagaan Persekutuan.

"Umat Islam bukan sahaja dilarang keras menukar agama atau murtad malah adalah menjadi kesalahan dari segi undang-undang untuk mendedahkan kepada orang Melayu perkara-perkara yang menyebabkan mereka meninggalkan agama asal," ujarnya.

Sehubungan itu, beliau menggesa Koo Ham menarik balik kenyataannya dan meminta maaf daripada seluruh umat Islam di negara ini.

"Sekiranya Koo Ham gagal berbuat demikian, Jati mencabar beliau mengulangi kenyataannya di luar Dewan Rakyat bagi membolehkan tindakan sewajarnya diambil ke atas beliau," katanya.

Hasan turut menyifatkan kenyataan Koo Ham itu mempunyai persamaan dengan tuntutan Gabungan NGO-NGO Hak Asasi Manusia (Comango) yang dianggap musuh nyata kepada umat Islam. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment