My Add

Friday 13 June 2014

Murid OKU gembira dapat kerusi khas disampaikan TPM

 * MUHYIDDIN Yassin melihat Nur Damia Irsalina Darmalis yang cacat anggota tangan dan kaki menggunakan 'meja pembantu' yang direka khas diterimanya semasa Program Transformasi Kepimpinan Pengurusan Sekolah Negeri Terengganu 2014 di TH Hotel & Convention Centre, Kuala Terengganu, semalam. Turut kelihatan Idris Jusoh (kanan) . - UTUSAN/SHAIFUDIN MOHD. NOR
KUALA TERENGGANU, KHAMIS 12 Jun, 2014: Keterujaan jelas terpancar pada wajah seorang kanak-kanak kurang upaya (OKU), Nur Damia Irsalina Darmalis, 7, apabila berkesempatan menatap wajah Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin secara dekat.

Lebih menggembirakannya, anak ketiga daripada empat beradik itu yang cacat kedua-dua tangan dan kaki menerima meja yang cipta khas bagi keperluannya yang disampaikan oleh Muhyiddin dalam majlis pelancaran Program Transformasi Kepimpinan Pengurusan Sekolah Negeri Terengganu 2014 di TH Hotel & Convention Centre di sini hari ini.

"Saya rasa gembira dapat meja ini untuk memudahkan saya belajar dan dapat jumpa Timbalan Perdana Menteri.

"Saya ucapkan terima kasih, saya akan belajar bersungguh-sungguh dan mahu jadi doktor," katanya kepada pemberita pada majlis itu sambil ditemani ibunya, Rosnaini Muhamad.

Dalam pada itu, Rosnaini, 36, berkata, dia sekeluarga merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada semua pihak terutama kerajaan negeri dan Jabatan Pendidikan negeri yang mendorong pihak ketiga mencipta meja khas bagi keperluan Nur Damia.

Menurutnya, dengan kemudahan itu, sekurang-kurangnya dapat membantu pergerakan Nur Damia mengikuti pembelajaran di sekolahnya, Sekolah Kebangsaan Kuala Telemong.

"Syukur alhamdulillah, meja khas ini dapat meringankan beban anak saya untuk belajar dan buat masa ini saya akan latih dulu dia membiasakan diri dengan meja ini," katanya.

Meja yang diberi nama Damia Assisting Table (Data) dicipta khas oleh syarikat Zul Design Autotronic dan menelan kos kira-kira RM10,000. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment