My Add

Friday 13 June 2014

Krim kosmetik dikilang di Ireland dikesan mengandungi racun

PUTRAJAYA, JUMAAT 13 Jun, 2014: Krim kosmetik Dermaceutic Spot Cream dan Dermaceutic Spot Peel Cream yang dikilang oleh Dermosciences, Ireland dikesan mengandungi racun berjadual hydroquinone dan tretinoin.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr. Noor Hisham Abdullah berkata, justeru itu produk tersebut tidak lagi dibenarkan untuk dijual di Malaysia serta orang awam dinasihati untuk mengelak daripada membeli dan mengguna kosmetik berkenaan.

Beliau berkata, syarikat yang bertanggungjawab ke atas notifikasi produk itu telah diarah untuk memberhentikan penjualan atau pembekalan dengan serta-merta dan memanggil balik kesemua stok produk itu dari pasaran dalam tempoh 72 jam.

``Produk yang mengandungi hydroquinone dan/atau tretinoin adalah produk farmaseutikal yang perlu berdaftar dengan pihak berkuasa kawalan dadah dan hanya boleh digunakan dengan nasihat profesional kesihatan,'' katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata produk kosmetik yang dicampurpalsu dengan hydroquinone lazimnya dipasarkan untuk tujuan mencerahkan kulit, merawat masalah jeragat dan kulit tidak sekata.

Dr. Noor Hisham berkata, kesan penggunaannya akan menyebabkan kemerahan pada kulit, ketidakselesaan, perubahan warna kulit yang tidak diingini malah kulit menjadi hipersensitif serta menghalang proses pigmentasi yang mengurangkan perlindungan kulit daripada pancaran sinar UV merbahaya dan meningkatkan risiko kanser kulit.

Katanya, produk kosmetik yang dicampurpalsu dengan tretinoin biasanya dipromosikan untuk merawat masalah jerawat dan membantu mengurangkan kedutan dan penggunaan tanpa pengawasan boleh menyebabkan bahagian yang disapu menjadi kemerahan, tidak selesa, pedih, mengelupas dan hipersensitif kepada matahari.

``Penjual diingatkan pemilikan produk itu adalah melanggar Peraturan-Peraturan Kawalan Dadah dan Kosmetik 1984 dan jika didapati bersalah boleh dihukum maksimum tiga tahun penjara dan denda RM25,000 atau kedua-duanya untuk kesalahan pertama.

``Untuk kesalahan berikutnya denda tidak melebihi RM50,000 atau penjara tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya,'' katanya.

Beliau berkata syarikat yang melakukan kesalahan boleh dikenakan denda sehingga RM50,000 untuk kesalahan pertama dan denda sehingga RM100,000 untuk kesalahan berikutnya.

Pengguna yang mengalami sebarang kesan sampingan atau kesan buruk akibat penggunaan produk kosmetik dinasihati menghubungi Biro Pengawalan Farmaseutikal Kebangsaan di talian 03-8835532/5533/5537.- BERNAMA

No comments:

Post a Comment