My Add

Saturday 21 June 2014

Kualiti peserta tilawah meningkat

Oleh AHMAD SHAZWAN MD. YUSOF
 
 Othman Mustapha Pengerusi Jemaah Hakim
KUALA LUMPUR, JUMAAT 20 Jun, 2014: Penganjuran Majlis Tilawah dan Menghafaz al-Quran Peringkat Antarabangsa Kali Ke-56 menyaksikan peningkatan kualiti terutama dalam aspek bacaan dan lagu yang dipamerkan oleh keseluruhan peserta.

Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) yang juga Pengerusi Jemaah Hakim, Datuk Othman Mustapha berkata, kebanyakan daripada peserta juga menjadikan Malaysia sebagai contoh untuk diikuti malah mereka hadir di negara ini dua hingga tiga hari lebih awal bagi meningkatkan lagi kualiti bacaan.

"Secara keseluruhannya, saya berpuas hati dengan penyampaian dan kualiti yang dimiliki peserta iaitu mereka berjaya melepasi kriteria yang diperlukan.

"Antara faktor peningkatan adalah peserta membuat ulang kaji di tanah air mereka dengan menggunakan cakera padat bacaan al-Quran dari negara kita sebagai persediaan sebelum pertandingan," katanya ketika ditemui pemberita sebelum Majlis Tilawah dan Menghafaz al-Quran Peringkat Antarabangsa Kali Ke-56 di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini malam tadi.

Majlis Tilawah dan Menghafaz al-Quran Peringkat Antarabangsa Kali Ke-56 berlangsung selama enam hari bermula 16 Jun lalu, menghimpunkan 68 qari dan qariah dari 55 negara untuk dua kategori iaitu tilawah dan hafazan.

Tiga negara baharu menyertai pertandingan tahun ini ialah Amerika Syarikat (AS), Belgium dan Hong Kong.

Sementara itu, Othman berkata, penganjuran majlis tilawah oleh negara ini mendapat pengiktirafan negara Islam lain kerana Malaysia muncul satu-satunya negara di dunia yang berjaya menguruskan majlis itu secara sistematik.

Katanya, di Malaysia sistem pemarkahan dan peraturan pertandingan disusun dengan rapi baik dari segi pemberian mahupun penolakan markah.

"Kita ada menerima undangan dari Asia Barat untuk memberikan bantuan dalam bentuk penganjuran kerana pemberian markah di negara ini dilihat sebagai mekanisme terbaik dalam menentukan pemenang.

"Mereka juga ada mengambil borang pemarkahan pertandingan untuk dijadikan panduan dan contoh dalam menganjurkan tilawah dan hafazan di negara mereka," katanya. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment