My Add

Saturday 21 June 2014

Peserta tilawah bawa semangat Malaysia perkasa Islam di negara asal

KUALA LUMPUR, JUMAAT 20 Jun, 2014: Qari dari Afrika Selatan, Harun Moos, 30, berharap penyertaannya pada Tilawah dan Menghafaz al-Quran Peringkat Antarabangsa Ke-56 dapat memberinya rangsangan dalam memperkasakan masyarakat Islam di negara itu.

Jelasnya, meskipun negara tersebut majoritinya beragama Kristian, namun hari demi hari, Islam semakin kuat dan kukuh di Afrika Selatan sehingga membuka ruang kepada usaha-usaha dakwah yang lebih luas.

Katanya, antara faktor kekuatan Islam di negara itu antaranya adalah jati diri masyarakat terutama yang berketurunan Melayu untuk memperkasakan Islam dan menjadikan Malaysia sebagai rujukan negara Islam utama dunia.

"Saya sendiri berketurunan Melayu. Sehubungan itu, saya akan membawa aspirasi masyarakat Islam di sini ke negara saya agar jati diri dan pembangunan Islam kita selaras," katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Perkara sama turut diberitahu qari dari Croatia, Alem Crnkic, 32 yang berharap, pengalaman beliau menyertai tilawah kali ini dapat dikongsi dengan masyarakat Islam di negaranya.

Katanya, beliau terpersona dengan adab dan kelembutan orang Melayu di negara ini dan menegaskan, pendekatan sedemikian perlu juga diamalkan oleh umat Islam seluruh dunia termasuk Crotia.

"Islam di Malaysia adalah amat menarik dan unik pada mata kami dari negara asing. Kita boleh belajar banyak daripada toleransi, sikap murah hati dan kekuatan adab orang Melayu," ujarnya.

Sementara itu, qariah Bosnia, Zubejda Gobeljic, 26, berkata, sistem pendidikan dan pembangunan Islam di negara ini sentiasa menjadi rujukan banyak negara luar.

Jelas beliau, Tilawah dan Menghafaz al-Quran Peringkat Antarabangsa contohnya, mendapat perhatian yang meluas dari banyak negara Islam dan masing-masing ingin mengadaptasinya.

"Saya tertarik dengan budaya di sini yang sangat mencerminkan kehidupan masyarakat Islam terutama dari segi pemakai hijab, minat masyarakat dan usaha kerajaan memartabatkan Islam," katanya.

Dalam pada itu, qari Malaysia, Ahmad Thirmizi Ali, 29, berkata, beliau akan melakukan terbaik pada penyertaan kali pertamanya kali ini.

"Mudah-mudahan penyertaan saya dan penganjuran tilawah kali ini terus memartabat serta memberi manfaat kepada umat Islam khususnya di negara ini," katanya. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment