My Add

Wednesday 11 June 2014

Lelaki lalui detik cemas lori dilarikan sekumpulan perompak

IPOH, SELASA 10 Jun, 2014: Seorang pemandu lori melalui detik cemas apabila 'ditawan' sekumpulan tiga lelaki yang melarikan lori miliknya dalam kejadian di kawasan rehat dan rawat (R&R) Simpang Pulai menghala selatan di sini, semalam.

Ketua Polis Daerah, Asisten Komisioner Sum Chang Keong berkata, kejadian berlaku ketika mangsa yang berusia 59 tahun itu sedang berehat dalam lori muatan susu getah seberat 30 tan di kawasan tempat letak kereta di R&R berkenaan.

Katanya, dalam kejadian kira-kira pukul 4 pagi itu, cermin sebelah kiri kenderaan tersebut secara tiba-tiba telah dipecahkan sebelum tiga lelaki bersenjatakan parang menyerbu masuk dan memukul mangsa.

"Mangsa dari Sungai Bakap, Pulau Pinang itu telah diikat di tangan dan kaki manakala kepalanya pula ditutup dengan kain.

"Suspek kemudiannya telah mengarahkan pengadu diam dan meminta mangsa baring di kerusi di bahagian belakang kenderaan berkenaan," katanya.

Chang Keong berkata, salah seorang suspek kemudiannya memandu lori jenis Hino berwarna putih itu dan kira-kira lima jam kemudian, suspek telah memberhentikan lori tersebut untuk menurunkan muatan susu getah.

Katanya, penjenayah terbabit kemudiannya meneruskan perjalanan sebelum berhenti di suatu kawasan kira-kira dua jam selepas itu dan pengadu mendakwa mendengar bunyi seperti badan lori berkenaan dipotong.

"Menurut mangsa, suspek meneruskan perjalanan dan berhenti di suatu lokasi untuk minum. Bagaimanapun selepas lebih kurang 20 minit, mangsa mendapati suspek tidak muncul.

"Mangsa kemudiannya keluar dari lori itu dan mendapati dia telah berada di Jalan Baru, Sungai Choh dekat Ayer kuning," katanya.

Tambahnya, dalam kejadian itu, mangsa kehilangan telefon bimbit, dokumen penting dan dompet yang mengandungi wang tunai berjumlah RM1,000.

Katanya, pihaknya sedang menyiasat perkara itu mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment