My Add

Saturday 21 June 2014

USM hasilkan Bon'ciment untuk penyembuhan tulang

 * Ra]ADZALI Othman menunjukkan produk Bon'ciment di Bangunan Canselori USM di Pulau Pinang, semalam.
PULAU PINANG, JUMAAT 20 Jun, 2014: Sekumpulan penyelidik Universiti Sains Malaysia (USM) berjaya menghasilkan serbuk kaca seramik yang berupaya menambah baik proses penyembuhan tulang.

Dikenali sebagai Bon'ciment, produk adunan kaca seramik berasaskan silika dan batu kapur itu turut berpotensi besar untuk kegunaan memasukkan implan dalam badan pesakit.

Ketua penyelidik Bon'ciment, Prof. Radzali Othman daripada Pusat Pengajian Kejuruteraan Bahan dan Sumber Mineral berkata, produk itu merupakan simen tulang komposit hasil campuran seramik kaca bioaktif dengan simen tulang biasa.

Katanya, campuran serbuk kaca biokatif itu akan meningkatkan kekuatan simen tulang komposit sekali gus mengatasi beberapa kelemahan penggunaan simen tulang sedia ada.

"Campuran lima gram Bon'ciment ke dalam simen tulang biasa dapat mengoptimumkan prestasi simen tulang gantian termasuk melipatgandakan kadar keliatan.

"Simen tulang gantian akan menjadi lebih liat dan akan membantu mengatasi masalah ketidaksepadanan tulang dengan implan yang mengakibatkan pesakit berasa tidak selesa dan terganggu," katanya di sini hari ini.

Sementara itu, Radzali berkata, Bon'ciment turut berupaya mengatasi masalah pengeluaran haba sewaktu proses pempolimeran dalam rawatan berkaitan tulang.

"Apabila ada haba, sel-sel yang berada di sekitar kawasan rawatan akan rosak dan mati. Masalah itu dapat diatasi dengan penggunaan Bon'ciment yang terbukti mengeluarkan haba yang amat rendah," katanya.

Tambah beliau, produk yang dibangunkan selama tiga tahun dengan kos RM400,000 itu kini dalam proses kajian klinikal setelah melepasi kajian awal makmal dan ujian terhadap haiwan. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment