My Add

Wednesday 18 June 2014

Logam berat dalam air lombong patuhi piawaian - Exco

SHAH ALAM, SWELASA 17 Jun, 2014: Kerajaan Parti Keadilan Rakyat (PKR) Selangor mengakui air lombong yang digunakan untuk menambah sumber air di negeri itu mengandungi logam berat.

Pengerusi Jawatankuasa Tetap, Belia, Sukan, Infrastruktur dan Kemudahan Awam negeri, Dr. Ahmad Yunus Hairi bagaimanapun berkata, kandungan logam tersebut adalah rendah dan mematuhi piawaian yang ditetapkan Jabatan Kesihatan.

"Air (lombong) dirawat di loji-loji pembersihan. Air lombong boleh digunakan dan sudah tentu kualiti tidak memberi apa-apa kesan (kepada kesihatan)," katanya dalam sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) di sini hari ini.

Ahmad Yunus berkata demikian sebagai menjawab soalan tambahan Mat Nadzari Mat Dahlan (BN-Batang Kali) mengenai jaminan kerajaan negeri terhadap penggunaan air lombong sama ada memberi kesan terhadap kesihatan pengguna.

Dalam pada itu, Mat Nadzari ketika ditemui di luar DUN tetap tidak berpuas hati dengan penjelasan Ahmad Yunus yang mana beliau menyifatkan penggunaan air lombong berkenaan merupakan langkah jangka pendek semata-mata.

Bagaimanapun dari segi penggunaan air lombong itu katanya, kerajaan negeri perlu mengemukakan kajian jangka panjang khususnya melibatkan kajian klinikal kesan penggunaan sumber air itu kepada pengguna.

"Kita khuatir terhadap kesan penggunaannya dalam jangka masa panjang. Kerajaan negeri tidak boleh menafikan kebimbangan rakyat Selangor terhadap penggunaan sumber air lombong itu," katanya. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment