My Add

Wednesday 18 June 2014

Tambah baik infrastruktur maklumat - PM

 * GELAGAT Najib Tun Razak meninjau secara spontan alat pengukur tanah klasik yang dihadiahkan kepada beliau sebagai cenderamata selepas merasmikan Kongres FIG 2014 di Kuala Lumpur, semalam membuatkan Presiden Juruukur Tanah Persekutuan Antarabangsa, Teo Chee Hai (kiri) dan Presiden Persatuan Juruukur Tanah Bertauliah Malaysia, Mohammad Azmi Mohd Zin ketawa besar. - UTUSAN/MOHD. NAIM AZIZ
KUALA LUMPUR, SELASA 17 Jun, 2014: Datuk Seri Najib Tun Razak mahu melihat infrastruktur maklumat termasuk yang berkaitan dengan data ruang ditambah baik agar kerajaan dapat menggubal dan melaksanakan dasar yang berkesan untuk kesejahteraan rakyat.

Perdana Menteri berkata, data ruang perlu tepat, mudah diakses dan boleh diintegrasikan dalam persekitaran yang kolaboratif.

Menurut beliau, langkah itu juga akan memudahkan pihak-pihak yang berkepentingan mencapai sasaran sosial dan ekonomi yang ditetapkan oleh organisasi masing-masing.

"Data ruang yang lebih terperinci akan menyumbang kepada penggubalan dasar-dasar yang lebih efektif, program-program yang lebih cekap dan keberhasilan yang lebih memuaskan.

"Cabaran bagi para juruukur adalah untuk memastikan amalan perkongsian maklumat berkembang pada kadar yang betul dan ilmu yang diperoleh digunakan secara produktif," katanya ketika berucap merasmikan Kongres Persekutuan Juruukur Antarabangsa (FIG) 2014 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur di sini hari ini.

Yang turut hadir, Timbalan Ketua Setiausaha Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar, Datuk Dr. Abdul Rahim Nik; Presiden Persatuan Juruukur Tanah Bertauliah Malaysia (Pejuta), Mohammad Azmi Mohd. Zin dan Presiden FIG, Teo Chee Hai.

Kongres FIG kali ke-25 yang disertai juruukur dari 99 buah negara itu julung-julung kali dianjurkan di Asia.

Najib memberitahu, data ruang amat penting bagi pembuat dasar kerana ia menyediakan maklumat penting bagi menangani pelbagai aspek termasuk perancangan bandar, tindak balas kecemasan, pencemaran alam sekitar dan perubahan iklim.

Tambah beliau, seperti maklumat-maklumat lain, data ruang sama ada dari darat, laut dan udara mesti diterjemahkan dalam format yang boleh difahami dan digunakan oleh pembuat dasar.

"Teknologi, model dan amalan yang dihasilkan oleh juruukur memudahkan kerajaan untuk menangani cabaran-cabaran yang dihadapi termasuk mengurangkan kadar jenayah di kawasan berisiko tinggi dan merangka kempen kesihatan awam secara menyeluruh," ujarnya.

Perdana Menteri menjelaskan, pembangunan infrastruktur di negara ini seperti projek Transit Aliran Massa (MRT) dan lebuh raya rentas Borneo bergantung kepada data ruang yang tepat.

"Perancangan pembangunan di peringkat pusat juga bergantung kepada pemahaman tentang bagaimana penggunaan ruang boleh dioptimumkan untuk menjana manfaat ekonomi," katanya.

Najib turut menyatakan sokongan Malay sia terhadap hasrat Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) untuk membentangkan resolusi bagi memastikan kemampanan Rangka Rujukan Geodetik Global hujung tahun ini.

"Resolusi itu akan menggalakkan kerjasama global dan pelaksanaan dasar-dasar yang menyumbang kepada akses data yang terbuka serta bebas," jelasnya - UTUSAN

No comments:

Post a Comment