My Add

Thursday 5 June 2014

Mayat lelaki ditemui di sebatang sungai

KUANTAN, RABU 04 Jun, 2014: Operasi mencari dan menyelamat (SAR) warga Britain, Gareth David Huntley, 34, sejak seminggu lalu, gempar dengan penemuan mayat seorang lelaki di sebatang sungai berhampiran sebuah stor penyimpanan kayak di Kampung Juara, Pulau Tioman, hari ini.

Mayat lelaki tanpa sebarang dokumen pengenalan diri itu ditemui dalam keadaan hanya berseluar pendek tanpa baju dan lengkap berkasut, kira-kira 50 meter dari pantai.

Sebahagian muka mangsa juga reput sehingga menyukarkan proses pengecaman.

Ketua Polis negeri, Datuk Sharifuddin Ab. Ghani yang dihubungi mengesahkan penemuan mayat berkenaan.

Beliau bagaimanapun hanya akan memaklumkan maklumat berkaitan penemuan mayat itu selepas mendapat laporan lengkap daripada pasukan forensik.

“Setakat ini kita belum dapat pastikan sama ada mayat yang ditemui itu adalah warga Britain yang dilaporkan hilang sebelum ini," katanya ketika dihubungi di sini.

Difahamkan, mayat lelaki itu telah dibawa ke Hospital Tengku Ampuan Afzan, Kuantan dengan menggunakan helikopter dan dijangka akan dilakukan bedah siasat esok.

Huntley yang bekerja dan tinggal di Projek Penyu Juara (JTP) di Kampung Juara, Pulau Tioman, dikatakan pergi ke kawasan air terjun berkenaan secara bersendirian, kira-kira pukul 12 tengah hari, Selasa lalu.

Dia bagaimanapun tidak pulang sebelum rakan dan beberapa penduduk kampung keluar mencarinya di kawasan sekitar air terjun sebelum membuat laporan polis.

Berikutan itu, pencarian intensif digerakkan pihak berkuasa bagi mengesannya namun gagal menemukan sebarang petunjuk sehinggalah penemuan mayat seorang lelaki hari ini.

Operasi berkenaan dilaporkan melibatkan lebih 150 orang anggota melibatkan polis, tentera, Rela, tentera serta bomba. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment