My Add

Tuesday 17 June 2014

MB Selangor perlu bertanggungjawab isu Tanah Rizab Melayu

SHAH ALAM, SELASA 17 Jun, 2014: Wakil rakyat Barisan Nasional (BN) mengingatkan Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim supaya lebih bertanggungjawab dalam menguruskan Tanah Rizab Melayu (TRM) di negeri ini.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuang, Datuk Abdul Shukor Idrus berkata, ingatan kepada Menteri Besar itu dibuat susulan pendedahan Laporan Ketua Audit Negara 2013 Siri 2 semalam yang mendapati 38.6 peratus daripada 10,265.38 ekar (4 ,154.25 hektar) TRM yang dibatalkan statusnya di negeri ini masih belum diganti.

Tegasnya, penggantian mana-mana TRM perlu dilaksanakan segera oleh kerajaan negeri yang mana bukan hanya termaktub dalam Enakmen Rizab Melayu semata-mata tetapi untuk memastikan hak orang Melayu tidak terus terpelihara selaras dengan peruntukan Perlembagaan Persekutuan.

"Pengurusan TRM adalah di bawah tanggungjawab serta bidang kuasa kerajaan negeri untuk menguruskannya. Sekiranya ada TRM yang batal statusnya untuk tujuan tertentu, maka perlu digantikan dengan tanah lain agar rizab itu terus kekal.

"Sekiranya tiada penggantian tanah rizab itu dibuat, maka sudah tentu dilihat seolah-olah pelanggaran ke atas hak kepentingan orang Melayu," katanya ketika ditemui selepas Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) di sini hari ini. - UTUSAN ONLINE

No comments:

Post a Comment