My Add

Saturday 14 June 2014

MH370: Keluarga enggan terima pampasan

ALOR SETAR, JUMAAT 13 Jun, 2014: Keluarga Chew Kar Moi (gambar), seorang daripada penumpang pesawat Penerbangan Malaysia Airlines (MAS) MH370 yang hilang, enggan menerima bayaran pendahuluan pampasan selagi tiada bukti penemuan bangkai pesawat atau mayat Chew.

Kakaknya, Chew Kar Hui, 33, berkata, keluarganya enggan menerima pampasan itu selepas diberi taklimat oleh pihak Malaysia Airlines bulan lepas.

Beliau berkata, tidak ada gunanya wang pampasan itu diterima keluarganya sedangkan bukti penemuan bangkai pesawat dan mayat adiknya tidak diketahui hingga kini.

"Duit tak mampu ubati luka dan kekecewaan keluarga kami. Kami mahu terus dibela dengan meminta pihak berwajib meneruskan operasi pencarian sehingga terjumpa bukti pesawat itu," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Chew berkata keluarganya juga enggan menguruskan hal berkaitan insurans walaupun Persatuan Insurans Am Malaysia bersetuju mempermudahkan proses prosedur tuntutan.

"Duit bukan keutamaan buat masa kini dan kami tetap berharap Kar Moi pulang," katanya.

Timbalan Menteri Luar Datuk Hamzah Zainuddin semalam mengumumkan tujuh waris pesawat MH370 iaitu enam dari Malaysia dan seorang dari China menerima pampasan sebanyak AS$50,000 seorang melalui insurans syarikat penerbangan. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment