My Add

Saturday 14 June 2014

Polis diwajibkan kursus kuruskan badan

KUCHING, JUMAAT 13 Jun, 2014: Polis Sarawak akan mewajibkan semua pegawai dan anggotanya yang mengalami masalah obesiti menjalani kursus pengurusan badan bagi mengurangkan kegemukan di Pusat Latihan Polis Sarawak (Pulasar) di Jalan Puncak Borneo di sini.

Pesuruhjaya Polis Sarawak, Datuk Muhammad Sabtu Osman (gambar) berkata, beliau memandang serius masalah kegemukan pegawai dan anggotanya selepas mendapati semakin ramai dalam kalangan mereka meninggal dunia akibat penyakit berkaitan obesiti termasuk yang berusia muda.

Sehubungan itu, katanya, beliau sudah mengeluarkan arahan kepada semua Ketua Polis Daerah (KPD) agar mengumpul dan menyerahkan senarai nama anggota yang obesiti untuk dihantar menjalani kursus berkenaan.

Menurutnya, cadangan mewajibkan kursus bagi anggota yang gemuk mengurangkan berat badan sudah dikemukakan kepada pihak atasan di Ibu Pejabat Polis Bukit Aman dua bulan lalu dan akan dilaksanakan sebaik sahaja mendapat kelulusan.

"Cadangan mengadakan kursus khas bagi membantu pegawai dan anggota yang mengalami masalah obesiti di Pulasar dalam peringkat perancangan.

"Kita masih menunggu keputusan daripada pihak atasan untuk meluluskan peruntukan bagi mengadakan kursus yang bakal dikendalikan oleh jurulatih jasmani yang terdapat di pusat latihan berkenaan," katanya kepada Utusan Malaysia ketika dihubungi di sini hari ini.

Beliau mengulas kenyataan Pengarah Jabatan Pengurusan Bukit Aman, Datuk Seri Mohamad Fuzi Harun dalam Utusan Malaysia hari ini yang mengatakan seramai 32 pegawai dan anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) di seluruh negara meninggal dunia setiap bulan sejak Januari lalu dengan majoritinya berpunca daripada penyakit tiga serangkai iaitu jantung, diabetes dan tekanan darah tinggi yang mempunyai kaitan dengan masalah obesiti.

Mengulas lanjut, Muhammad Sabtu berkata, anggota yang dipilih menjalani kursus tersebut akan ditimbang berat badan terlebih dahulu bagi menentukan tahap kegemukan mereka. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment