My Add

Wednesday 11 June 2014

MRSM tumpuan pelajar cemerlang, lebih 40,000 permohonan setiap tahun

KUALA LUMPUR, SELASA 10 Jun, 2014: Maktab Rendah Sains MARA (MRSM) yang terletak di bawah Majlis Amanah Rakyat (MARA) menjadi institusi yang paling menjadi tumpuan pelajar cemerlang meneruskan pengajian mereka.

Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal berkata perkara itu dapat dilihat apabila setiap tahun hampir 43,000 pelajar yang memohon untuk melanjutkan pelajaran di MRSM seluruh negara tetapi pengambilannya sekitar 5,000 pelajar sahaja.

"Bukan sahaja MRSM, malah, institusi pengajian yang terletak di bawah MARA juga menjadi tumpuan ramai pelajar yang mahu melanjutkan pengajian sehingga peringkat sarjana. Setiap tahun, hampir 13,000 orang memohon melanjutkan pengajian peringkat sarjana.

"Daripada jumlah itu, 11,000 pelajar layak tetapi tempat yang diperlukan cuma 3,000 orang sahaja. Kita kekurangan cawangan MRSM dan institusi pengajian lain di bawah MARA. Untuk menambah bilangan itu memerlukan kos yang banyak.

"Senario itu berlaku kerana MARA menjadi pilihan ramai ibu bapa kerana kemudahan yang disediakan agensi ini bagi membantu mereka terutama daripada segi kemudahan pembiayaan pengajian yang ada di agensi ini," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Hari Pendidik MARA 2014 di Dewan Utama, Hotel Premiera di sini yang dihadiri oleh hampir 500 tenaga pendidik termasuk guru, pensyarah dan jurulatih yang terbabit dalam institusi pendidikan yang terletak di bawah MARA.

Selain MRSM, institusi pendidikan yang terletak di bawah MARA adalah Kolej MARA, Giat MARA, Institut Kemahiran MARA, Kolej Profesional MARA, Kolej Kemahiran Tinggi MARA, Kolej Poly-Tech MARA, German-Malaysian Institute, Universiti Kuala Lumpur dan MARA Ketengah International College.

Jelas Mohd. Shafie, bagi mengatasi masalah lambakan pelajar yang memohon untuk melanjutkan pengajian di bawah MARA, pihaknya terpaksa mengagih-agihkan lebihan permohonan itu kepada agensi kerajaan lain yang turut memiliki institusi pengajian sendiri.

"Selain MARA, kerajaan juga ada agensi atau badan lain seperti JPA (Jabatan Perkhidmatan Awam) dan Petronas yang juga boleh menaja para pelajar cemerlang terbabit bagi melanjutkan pengajian dalam bidang masing-masing sama ada di dalam dan luar negara," ujarnya. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment