My Add

Saturday 21 June 2014

Sistem agihan guna aplikasi IT

Oleh MUZDALIFAH MUSTAPHA
 
 Alias Ahmad
KUALA LUMPUR, JUMAAT 20 Jun, 2014: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) akan mewujudkan sistem penguatkuasaan baharu menggunakan aplikasi teknologi maklumat (IT) bagi menyelesaikan isu sindiket penyelewengan dan penyeludupan diesel bersubsidi.

Ketua Setiausahanya, Datuk Seri Alias Ahmad berkata, ia direka khusus bagi memantau proses penjualan dan pengedaran diesel serta petrol terutama di stesen-stesen minyak di seluruh negara.

Menurutnya, ia bukan sahaja memantau aspek jumlah penggunaannya, malah paling utama untuk melihat pengawalan agihan yang dilaksanakan oleh setiap stesen minyak tersebut.

"Menerusi sistem itu, penguat kuasa boleh melihat rekod kawalan penjualan dan pengedaran setiap stesen minyak untuk setiap bulan. Ini lebih efektif, sekarang kita di peringkat akhir perbincangan bersama beberapa kementerian lain," katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.

Beliau mengulas kenyataan Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) yang mendapati banyak kelemahan dalam sistem agihan diesel bersubsidi sehingga menyebabkan berlakunya ketirisan. Antara yang disarankan jawatankuasa itu adalah mengubah sistem sedia ada kepada penggunaan IT.

Alias yang mengakui berlaku penyelewengan dalam proses pengedaran diesel berkata, pihaknya berdepan cabaran memantau setiap pergerakan pihak yang tidak bertanggungjawab dalam melakukan jenayah diesel berdasarkan sistem sedia ada.

"Sebagai contoh, seorang pengguna diesel atau petrol dihadkan membeli 250 liter setiap pembelian, tetapi jika individu itu membuat tiga kali pembelian dalam satu hari iaitu pagi, tengah hari dan petang sudah pasti kita tidak dapat mengawalnya," katanya.

Mengenai kad fleet Alias berkata, pihaknya mendapati kaedah tersebut berkemungkinan akan dikekalkan kerana setiap kad fleet mempunyai kuota dan tempoh yang tidak boleh diubah ekoran sistem kad itu dikawal ketat oleh kementerian.

"Sebagai contoh, kad fleet bagi sebuah bas adalah 500 liter diesel subsidi untuk sebulan bermakna pemilik bas tidak boleh menambah mahupun mengurangkan jumlah itu.

"Tetapi saya tidak menafikan boleh juga berlaku salah guna sekiranya pemilik berkongsi kad fleet itu dengan orang lain atau pemilik langsung tidak menggunakan kenderaannya tetapi menjual diesel menggunakan kad fleet miliknya," kata beliau.

Menurut Alias, sehingga Januari lalu, jumlah kenderaan yang menggunakan kad fleet adalah 41,148 buah iaitu terdiri daripada 11 jenis kenderaan termasuk bas sekolah, bas ekspres, bas mini, bas henti-henti, bas perantara, kereta sewa, teksi, van mayat, ambulans dan bomba (yang dikendalikan oleh badan sukarela).

Bagaimanapun, tambah Alias, sekiranya kad fleet tidak berupaya mengawal ketirisan yang berlaku, kementerian tidak teragak-agak untuk menggunakan sistem biometrik dalam kalangan pemilik supaya agihannya terbatas. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment