My Add

Tuesday 10 June 2014

Najib tiba di Ashgabat, erat kerjasama

Daripada Mohd. Ridzwan Iman

 * NAJIB Tun Razak disambut oleh Khodjq Muhammedow Baymurad (kanan) dan Duradvew Serdar setibanya di Lapangan Terbang Antarabangsa Ashgabat semalam, untuk memulakan lawatan rasmi ke Turkmenistan. - BERNAMA
ASHGABAT, Turkmenistan, ISNIN 09 Jun, 2014: Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak tiba di sini malam ini untuk melakukan lawatan rasmi dalam usaha meningkatkan hubungan dua hala dalam pelbagai bidang antara Malaysia dan Turkmenistan.

Diiringi isteri, Datin Seri Rosmah Mansor, lawatan dua hari Perdana Menteri adalah atas jemputan Presiden Gurbanguly Berdimuhamedov dan ia merupakan lawatan rasmi keduanya ke Turkmenistan sejak 2011.

Ketibaan Najib dan rombongan di Lapangan Terbang Antarabangsa Ashgabat disambut oleh Timbalan Perdana Menteri bagi Minyak dan Gas Turkmenistan, Khodjq Muhammedow Baymurad; Ketua Protokol Negara, Duradvew Serdar; Duta Malaysia ke Turkmenistan, Norman Muhamad dan delegasi Malaysia.

Menteri Luar, Datuk Seri Anifah Aman; Menteri Pelancongan dan Kebudayaan, Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdul Wahid Omar turut mengiringi Perdana Menteri dalam lawatan kali ini.

Esok, Najib akan diberikan sambutan rasmi di Istana Presiden dan mengadakan pertemuan empat mata dengan Berdimuhamedov diikuti perbincangan dua hala antara delegasi kedua-dua negara.

Perdana Menteri bersama Presiden Turkmenistan kemudiannya akan menyaksikan majlis menandatangani lima memorandum persefahaman (MoU) dan perjanjian kerjasama antara pelbagai pihak.

Sempena lawatan rasmi itu, Najib dan Rosmah juga akan diraikan dalam majlis makan malam rasmi di Istana Presiden dan mereka kemudiannya dijadualkan pulang ke tanah air selepas itu.

Pada tahun lepas, Turkmenistan merupakan negara rakan dagang ketiga terbesar Malaysia di rantau Asia Tengah dengan mencatatkan dagangan sebanyak AS$33.31 juta (RM113.25 juta). - UTUSAN

Kira-kira 200 rakyat Malaysia berada di negara ini yang kebanyakannya terlibat dalam industri minyak dan gas, manakala terdapat 144 pelajar Turkmenistan kini sedang mengikuti pengajian di Malaysia dengan kerjasama Petronas.

Turkmenistan yang sebahagian besar daripada muka buminya adalah negara yang dilitupi padang pasir menumpukan aktiviti utamanya kepada pertanian kapas dan gandum dengan sektor minyak dan gas menjadi penyumbang utama ekonomi negara. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment