My Add

Monday 9 June 2014

NGO desak tangguh bentang rang undang-undang

KUALA LUMPUR, AHAD 08 Jun, 2014: Majlis Peguam mendesak kerajaan negeri Johor menangguhkan pembentangan rang undang-undang menubuhkan Lembaga Perumahan dan Hartanah Johor (LPHJ) kerana dianggap bertentangan dengan konsep Raja Berperlembagaan.

Presidennya, Christopher Leong berkata, usaha tersebut hanya akan mengheret institusi raja dalam bidang kuasa eksekutif.

"Pembentangan rang undang-undang ini perlu ditangguhkan bagi kebaikan semua, ini adalah sesuatu yang tidak dijangka berlaku di bawah Perlembagaan Persekutuan atau Perlembagaan Johor," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Tambah Christopher, keinginan untuk melibatkan sultan secara terus dalam pentadbiran kerajaan negeri adalah membimbangkan.

"Hal ini?kemungkinan akan menjejaskan maruah dan kedudukan institusi raja malah menjadi bahan kritikan secara umum," katanya.

Beliau mengulas cadangan kerajaan negeri Johor untuk membentangkan rang undang-undang baharu itu pada sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor esok yang akan memberi kuasa kepada sultan untuk terlibat secara langsung dalam pentadbiran kerajaan negeri.

Keputusan kerajaan negeri Johor itu mendapat reaksi pelbagai pihak yang rata-ratanya kurang bersetuju dengan cadangan tersebut kerana disifatkan hanya menambah kekeruhan situasi di negeri berkenaan sekiranya kedudukan Raja Berperlembagaan dikompromikan.

Sementara itu, Pertubuhan Penyatuan Pembelaan Melayu Malaysia (PPPMM) turut senada dengan meminta pembentangan rang undang-undang tersebut ditangguhkan.

PPPMM juga menggesa kerajaan negeri menjadikan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) sebagai ‘rakan strategik’ bagi mencari mekanisme terbaik membincangkan penubuhan LPHJ.

Presidennya, A. Rahman Mahadi berkata, ia bagi mencari keputusan akhir yang terbaik supaya rakyat tidak menerima kesan negatif daripada penubuhan lembaga itu.

"Adalah lebih baik ditangguhkan pembentangan rang undang-undang baharu ini bagi membolehkan perbincangan secara menyeluruh dan melibatkan banyak pihak terutama NGO yang dekat dengan rakyat dilakukan.

"Bukan saya tidak bersetuju dengan penubuhan LPHJ. Namun kita perlukan satu keputusan yang akhirnya tidak memberi kesan negatif kepada institusi diraja, pentadbiran negeri dan rakyat," katanya. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment