My Add

Saturday 21 June 2014

Seri Paduka terima watikah 4 bakal duta asing

 * TUANKU Abdul Halim Mu'adzam Shah berkenan menerima watikah pelantikan daripada bakal Duta Palestin ke Malaysia, Dr. Anwar Hamadto Kassem Al-Agha pada Istiadat Penyerahan Watikah Pelantikan dan Majlis Mengadap Bakal Ketua-Ketua Perwakilan Asing ke Malaysia di Istana Negara, Jalan Duta, Kuala Lumpur, semalam. - BERNAMA
KUALA LUMPUR, JUMAAT 20 Jun, 2014: Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah hari ini berangkat ke istiadat persembahan watikah pelantikan empat bakal ketua perwakilan asing ke Malaysia di Istana Negara, di sini.

Empat wakil asing itu ialah Dr. Anwar Hamadto Kassem Al-Agha dari Palestin, Mohamed Fayaz (Maldives), Khuseynov Muzzafar Makhmurodovich (Tajikistan) dan Dr. Mabaputhi Moorosi-Molapo dari Lesotho.

Tuanku Abdul Halim dan Raja Permaisuri Agong, Tuanku Hajah Haminah kemudian menerima mengadap keempat-empat ketua perwakilan asing itu.

Yang turut hadir ialah Timbalan Menteri Pengangkutan Datuk Aziz Kaprawi dan Timbalan Ketua Setiausaha Perhubungan Dua Hala Kementerian Luar, Datuk Ramlan Ibrahim.

Anwar Hamadto, 47, berkhidmat sebagai Duta Palestin ke Sri Lanka dan Maldives sebelum pelantikan baharu ini.

Mohamed, 42, pula pernah menyandang jawatan menteri dalam negeri Maldives untuk tempoh 2012 hingga Januari tahun ini sebelum ke Kementerian Luar.

Menyertai perkhidmatan luar Tajikistan pada 2002, Makhmurodovich, 39, pernah berkhidmat sebagai Setiausaha Kedua di Kedutaan Tajikistan di Belgium dan jawatan beliau sebelum ini ialah Duta Tajikistan ke Uzbekistan.

Molapo, 60, pula merupakan pensyarah di Universiti Kebangsaan Lesotho sebelum ke Kuala Lumpur.

Sementara itu, Tuanku Abdul Halim turut berkenan mengurniakan watikah pelantikan kepada lima bakal Duta Besar Malaysia ke luar negara.

Mereka ialah Datuk Syed Sultan Mohd Idris yang akan bertugas di Ireland; Datuk Mohd Ashri Muda (Argentina); T.Bala Chandran (Lubnan); Datuk Nor'Aini Abd Hamid (Uzbekistan) dan Umardin Abdul Mutalib yang akan ke Oman. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment