My Add

Thursday 19 June 2014

PAC panggil bekas KSU jelas ketirisan projek Empangan Paya Beda

KUALA LUMPUR, RABU 18 Jun, 2014: Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) mendapati pembinaan projek Empangan Paya Beda di Terengganu yang bernilai RM348 juta telah diserahkan kepada syarikat kontraktor yang tidak mempunyai kredibiliti untuk melaksanakannya.

Pengerusinya, Datuk Nur Jazlan Mohamed berkata, penganugerahan kontrak tersebut tidak menepati syarat Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan (CIDB) menyebabkan berlaku beberapa ketirisan termasuk kelewatan untuk disiapkan.

Sehubungan itu katanya, PAC akan memanggil bekas Ketua Setiausaha Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Mohd. Mokhtar Ismail dan Ketua Setiausaha Perbendaharaan untuk memberikan penjelasan.

"Antara punca projek ini bermasalah adalah kerana keputusan pihak Kementerian Kewangan untuk melantik sendiri kontraktor tanpa melakukan tender terbuka.

"Mereka (kontraktor) sepatutnya mendapatkan lesen untuk membuat empangan, tetapi sebaliknya pula berlaku. Mereka tidak mempunyai lesen untuk membuat empangan," katanya dalam sidang akhbar selepas mempengerusikan mesyuarat PAC di sini hari ini.

Projek yang menelan belanja RM348 juta itu sepatutnya telah siap namun, disebabkan kelemahan yang timbul pembinaan hanya mencapai tahap 83 peratus setakat ini dan dijangka hanya boleh beroperasi pada April 2015.

"Disebabkan kelewatan pembinaan itu, syarikat kontraktor terbabit dikenakan denda sebanyak RM50,000 sehari dan menjadi persoalan kepada kita apabila mereka menerima projek itu walaupun menyedari tidak mampu melaksanakannya," katanya. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment