My Add

Thursday 19 June 2014

Status rampas Bible diumum Isnin - MB

SHAH ALAM, RABU 18 Jun, 2014: Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim menyatakan penyelesaian isu rampasan 351 naskhah Bible oleh Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) daripada Persatuan Bible Malaysia (BSM) akan dimuktamadkan Isnin ini.

Beliau berkata, penetapan penyelesaian tersebut dibuat selepas beliau mendapatkan penerangan daripada Peguam Negara, Tan Sri Abdul Gani Patail dan mengadakan perbincangan dengan Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah, masing-masing hari ini.

"Saya sempat menghadap Sultan Selangor pagi ini bagi membincangkan isu Bible berkenaan. Selain itu, saya juga telah bercakap dengan Peguam Negara mengenai perkara yang sama.

"Hasil perbincangan dengan Peguam Negara itu, kesimpulannya agak memberangsangkan dan saya akan menghadap Sultan Selangor sekali lagi esok untuk mendapatkan penyelesaian muktamad. Saya jangkakan Isnin ini kita akan umumkan penyelesaian tersebut," katanya kepada pemberita selepas sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor di sini hari ini.

Bagaimanapun, Abdul Khalid enggan memberikan sebarang ulasan mengenai perbincangan yang dibuat dengan Sultan Selangor dan Peguam Negara sehingga keputusan muktamad diumumkan.

Pada 11 Jun lalu, Peguam Negara memutuskan tiada sebarang pendakwaan dibuat berhubung kes rampasan Bible oleh JAIS pada Januari lalu selain menyatakan pandangan bahawa kes itu ditutup. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment