My Add

Tuesday, 17 June 2014

Pas gesa Selangor kurangkan kuasa eksekutif MAIS

KUALA LUMPUR, SELASA 17 Jun, 2014: PAS meminta kerajaan negeri Selangor meminda peruntukan enakmen yang berkaitan bagi mengurangkan kuasa eksekutif Majlis Agama Islam Selangor (MAIS), berhubung tindakan badan itu tidak memulangkan Bible dalam bahasa Malaysia yang dirampas pada Januari lepas.

Anggota Parlimen Shah Alam Khalid Abdul Samad berkata, tindakan MAIS, melalui Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS), yang enggan memulangkan semula kitab itu, boleh mengakibatkan imej Islam tercemar dalam kalangan masyarakat bukan Islam.

Bercakap dalam sidang akhbar di bangunan Parlimen, di sini hari ini, Khalid yang merupakan Anggota Jawatankuasa PAS Pusat, turut menyatakan bahawa tindakan MAIS dan JAIS tidak ada kena mengena dengan parti itu dan kerajaan negeri kerana kedua-dua badan itu tidak terletak di bawah pentadbiran kerajaan negeri.

Baru-baru ini, Peguam Negara Abdul Gani Patail memutuskan untuk menutup kes rampasan Bible versi bahasa Malaysia dan Iban itu kerana ia bukan tulisan yang diterbitkan mengikut Seksyen (9)(1)(a) Enakmen Bukan Kawalan Islam (Kawalan dan Perkembangan Di Kalangan Orang Islam (1998). - BERNAMA

No comments:

Post a Comment