My Add

Tuesday 10 June 2014

Peluang lihat panda secara percuma selama sebulan

* FU Wa (kiri) dan Feng Yi ketika sampai di Malaysia pada 21 Mei lalu.
PUTRAJAYA, ISNIN 09 Jun, 2014: Orang ramai mungkin diberi peluang masuk secara percuma melihat pasangan panda di Zoo Negara bagi tempoh sebulan, selepas kedua-duanya diberi nama baharu oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak pada 25 Jun ini.

Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar, Datuk Seri G. Palanivel berkata, cadangan itu akan dikemukakan kepada pihak zoo bagi membolehkan lebih ramai orang melihat secara dekat haiwan itu yang didatangkan dari Chengdu, China.

Beliau berkata, kemasukan mungkin ditetapkan kepada 1,200 orang dalam satu hari untuk melihat panda berkenaan iaitu 200 orang bagi satu-satu lawatan dengan tempoh 20 minit seperti di Zoo Singapura.

"Jumlah pelawat ke pusat panda di Zoo Negara akan dihadkan untuk mengelakkan terlalu ramai pengunjung pada satu-satu masa," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Forum Pengurusan Sumber Air Malaysia di sini hari ini.

Pasangan panda gergasi bernama Fu Wa dan Feng Yi diterbangkan dari China ke Malaysia pada 21 Mei lalu dan kini sedang dikuarantin di Zoo Negara.

Taman panda di Zoo Negara dijangka dibuka kepada orang ramai mulai 27 Jun ini selepas majlis pemberian nama baharu yang bakal disempurnakan Perdana Menteri dua hari sebelumnya.

Dua ekor panda itu akan ditempatkan di dua kawasan di Zoo Negara sebaik sahaja tempoh kuarantin mereka tamat pada 21 Jun ini.

Palanivel berkata, selepas tempoh itu harga tiket untuk melawat pasangan panda itu mungkin dikenakan RM20 bagi dewasa dan RM10 bagi kanak-kanak.

Mengenai perkembangan panda berkenaan katanya, haiwan itu berada dalam keadaan sihat dan beratnya semakin bertambah.

"Dua ekor panda ini sihat dan mereka boleh menerima buluh betong dari Malaysia sebagai makanan. Duta China telah beri tiga nama baharu dan kita akan memilih nama sesuai bagi panda itu," katanya.

Dalam perkembangan lain, Palanivel berkata, pihaknya bersama kementerian lain termasuk Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi serta Kementerian Tenaga, Teknologi Hijau dan Air sedang memantau perkembangan fenomena El Nino yang mungkin menyebabkan musim kering dari Jun hingga November.

"Kita mengawasi keadaan dan bersiap sedia untuk pelbagai kemungkinan termasuk kebakaran belukar yang boleh berlaku pada musim kering," katanya. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment