My Add

Friday 13 June 2014

Pemimpin UMNO diingat jangan abai Mesir
KAHERAH, KHAMIS 12 Jun, 2014: Pimpinan tertinggi UMNO termasuk pemimpin-pemimpin sayap diingatkan supaya tidak mengabaikan Mesir yang sekian lama menjadi ‘sarang’ melahirkan ejen pembangkang khususnya Pas.

Perkara itu disuarakan Pengerusi Kelab UMNO Luar Negara (KULN), Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek yang mahu UMNO perkukuhkan pengaruhnya terutama dalam kalangan penuntut Malaysia di sini.

Tegasnya yang juga Menteri Komunikasi dan Multimedia, hal sedemikian kerana UMNO diberikan pelbagai tanggapan negatif termasuk dianggap tidak ‘trendy’ untuk didekati oleh penuntut.

"Jangan ‘ignore’ (abai) Mesir. Kita (UMNO) kena kuatkan orang kita (ahli UMNO) di sini.

"Mereka (pembangkang) sekian lama melahirkan ejen, sarangnya, kilangnya di sini (Mesir)," katanya ketika berucap semasa melawat Pusat Kecemerlangan Pelajar (PKP) Rabiatul Adawiyah di sini hari ini.

Dalam lawatan itu, beliau turut mengadakan perbincangan dengan pemimpin-pemimpin penuntut Malaysia di Mesir.

Yang turut hadir, Ahli Parlimen Kepala Batas, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican; Naib Ketua Puteri UMNO, Zahida Zarik Khan; Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Luit, Pahang, Nurhidayah Mohamad Shahaimi serta Penolong Setiausaha Wanita UMNO Kedah, Wan Mohalina Wan Mohamad.

Hadir sama, Duta Besar Malaysia ke Kaherah, Datuk Ku Jaafar Ku Shaari dan Setiausaha Kerja Wanita UMNO, Noor Haiza Mariena Mat Ramli.

Dalam majlis sama, Ahmad Shabery menyerahkan sumbangan KULN dan Kementerian Komunikasi dan Multimedia bernilai lebih RM100,000 untuk pembangunan penuntut dan PKP.

Turut sama menyampaikan sumbangan ialah Reezal Merican, Wan Mohalina dan Ahli Jawatankuasa Tertinggi Biro KULN, Datuk Che Azizuddin Che Ismail.

Ahmad Shabery berkata, Mesir perlu diberi perhatian sewajarnya oleh UMNO biarpun bilangan penuntut di sini adalah kecil.

"Tetapi, biarpun kecil, pertentangan ideologi politik di negara kita bermula di sini," katanya. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment