My Add

Thursday 5 June 2014

Penceroboh berseragam celoreng ditembak mati

KOTA KINABALU, RABU 04 Jun, 2014: Pasukan keselamatan menembak mati seorang penceroboh berpakaian seragam celoreng ketika menjalankan operasi untuk mengusir militan Sulu dari Kampung Tanjung Batu, Lahad Datu tahun lalu, Mahkamah Tinggi di sini diberitahu hari ini.

Pegawai Pemerintah Rejimen 22 Komando, Leftenan Kolonel Adi Ridwan Abdullah berkata, penceroboh itu terbunuh dalam pertempuran bersenjata pada pukul 10.15 pagi yang berterusan kira-kira 30 minit pada 17 Mac tahun lalu ketika pasukan keselamatan menjalankan operasi pembersihan bagi memastikan tiada penceroboh bersenjata di kampung itu.

"Pasukan saya telah ditembak dari arah hadapan di kawasan tanaman pokok kelapa sawit dan belukar. Ada empat penceroboh bersenjata berpakaian celoreng dan seorang daripada mereka ditembak mati," katanya.

Ketika disoal Timbalan Pendakwa Raya, Ishak Mohd. Yusoff sama ada dia nampak penceroboh membawa sebarang senjata semasa pertempuran itu, Adi Ridwan, yang kini bertugas sebagai Penolong Pengarah Institut Pertahanan dan Keselamatan Malaysia (Midas) berkata, beliau nampak penceroboh memegang senjata laras panjang, bagaimanapun beliau tidak pasti jenis senjata itu.

"Selepas pertempuran selesai, apakah tindakan anda terhadap penceroboh yang ditembak mati?" tanya Ishak.

Adi Ridwan menjawab: “Saya telah menghantar anggota saya untuk menentukan kawasan adalah selamat bagi membolehkan pasukan saya membawa keluar mayat penceroboh."

Ketika memberi keterangan pada hari ke-50 perbicaraan 30 orang yang didakwa dengan pelbagai kesalahan berkaitan pencerobohan Lahad Datu tahun lalu, Adi Ridwan berkata, selain menjumpai mayat penceroboh yang berpakaian seragam celoreng itu, beliau mendapati terdapat huruf ’RSF’ di hadapan dada kiri uniform itu.

Katanya, tiada senjata ditemui bersama mayat itu, yang kemudiannya diserahkan oleh pasukannya kepada pihak polis di sebuah surau di Tanjung Labian pada hari ber­kenaan.

Adi Ridwan berkata, beliau dan pa­sukannya meneruskan operasi pembersihan di Kampung Tanjung Batu pada beberapa hari berikutnya tanpa sebarang kejadian tidak diingini.

Bagaimanapun, kira-kira pukul 10 pagi, 20 Mac 2013, semasa menjalankan operasi pembersihan berhampiran sebuah paya, beliau berkata, pasukannya terserempak dengan tiga penceroboh bersenjata memakai pakaian berwarna gelap yang melepaskan tembakan ke arah mereka.

Adi Ridwan berkata, pertempuran itu juga berterusan kira-kira 30 minit dan seorang daripada anggota pasukan itu, Lans Koperal Firdaus Lim Ismail Lim cedera akibat ter­kena tembakan di lengan kirinya.

Tiga puluh orang terdiri daripada 27 rakyat Filipina dan tiga penduduk tempatan dibicarakan dengan sebahagian mereka menghadapi pelbagai pertuduhan meng­anggotai kumpulan pengganas atau melancarkan perang terhadap Yang di-Pertuan Agong, merekrut anggota kumpulan pengganas atau dengan sengaja melindungi individu yang mereka ketahui adalah anggota kumpulan pengganas.

Mereka dituduh melakukan ke­salahan itu di antara 12 Februari dan 10 April tahun lalu.

Perbicaraan di hadapan Hakim Stephen Chung di Jabatan Penjara Sabah bersambung esok. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment