My Add

Thursday 5 June 2014

Peniaga runsing tepung Blue Key kurang

 * SEORANG pekerja kedai runcit, Mohd. Amiruddin Baba menunjukkan sebungkus tepung gandum 1Malaysia di sebuah kedai runcit di Jasin, Melaka, semalam. - Utusan/Gaie Uchel
MELAKA, RABU 04 Jun, 2014: Sebahagian besar peniaga dan peruncit di daerah Jasin di sini berdepan rungutan pengguna apabila bekalan tepung gandum jenama Blue Key didakwa semakin berkurangan sejak seminggu lalu.

Tinjauan Utusan Malaysia di beberapa pasar raya mini dan kedai runcit di sekitar daerah ini mendapati bekalan tepung gandum jenama berkenaan yang dijual pada harga RM1.35 sekilogram amat kurang berbanding jenama lain.

Salah seorang peniaga, Mohd. Ashraf Ashari, 51, memberitahu, kekurangan bekalan tepung gandum Blue Key berlaku sejak seminggu lalu yang mana pembekal sudah mula tidak mengedarkannya.

Menurutnya, walaupun pembekal masih menghantar bekalan tepung gandum ke kedainya, namun ia merupakan jenama lain yang lebih mahal dan kurang mendapat permintaan pengguna.

“Ramai pengguna merungut memandangkan bekalan asas berkenaan merupakan keperluan utama bagi membuat kuih lebih-lebih lagi dengan ketibaan bulan Ramadan tidak lama lagi.

“Saya berharap pihak bertanggungjawab dapat mengatasi masalah kekurangan bekalan tepung gandum jenama berkenaan," katanya ketika ditemui di kedainya di Taman Maju di sini hari ini.

Seorang lagi peniaga, Pai Tan Foo, 50, berkata, kedainya masih menerima bekalan tepung gandum Blue Key, namun jumlahnya agak kurang berbanding sebelum ini.

Sejak minggu lalu, katanya, pembekal tidak lagi menghantar bekalan ke kedai atas alasan tiada stok namun mereka memberi pilihan untuk mengambil jenama tepung lain yang susah dijual.

“Buat masa sekarang, kedai saya hanya menjual stok sedia ada yang dibekalkan pengedar minggu lalu. Jika habis stok ini, tiada lagi tambahan bekalan baharu dan ini akan membawa masalah kepada peniaga serta orang ramai," katanya.

Sementara itu, seorang peruncit, M. Sarugunan, 30, memberitahu, dia tidak dapat menambah bekalan tepung jenama Blue Key di kedainya disebabkan kesukaran mendapatkannya daripada pembekal.

“Saya yang berniaga kecil-kecilan mengambil sendiri bekalan daripada pembekal, tapi sejak minggu lalu bekalan tepung gandum jenama itu ini susah untuk didapati dan saya mengambil keputusan untuk tidak menjualnya buat masa ini," katanya.

Tambah Sarugunan, dia berharap masalah itu dapat diselesaikan oleh pihak kementerian kerana jenama tepung Blue Key sememangnya mendapat permintaan tinggi oleh pengguna Melayu lebih-lebih lagi menjelang musim perayaan tidak lama lagi.

Tinjauan terhadap bahan keperluan lain seperti minyak masak mendapati bekalan mencukupi dan kebanyakan kedai masih menjualnya. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment