My Add

Wednesday 11 June 2014

Penoreh getah bakal nikmati bantuan RM500 - Uggah

KUALA LUMPUR, RABU 11 Jun, 2014: Kerajaan hari ini mengumumkan penoreh getah di seluruh negara bakal menikmati bantuan RM500, seperti yang pernah diberikan kepada pekebun kecil komoditi itu sebelum ini.

Menteri Perusahaan, Perladangan dan Komoditi, Datuk Seri Douglas Uggah Embas berkata, bantuan itu bagi meringankan beban yang terpaksa ditanggung penoreh getah yang turut terjejas dengan kejatuhan harga komoditi itu di pasaran.

Kerajaan sebelum ini mengumumkan seramai 260,000 pekebun kecil getah seluruh negara tahun ini yang terjejas pendapatan mereka ekoran kejatuhan harga getah, diberi Bantuan Sara Hidup Pekebun Kecil (SHPK) RM500 seorang secara sekali bayar.

Beliau bagaimanapun tidak menyatakan berapakah jumlah keseluruhan bantuan yang diperuntukkan dan bila ia akan diagihkan.

``Perkara ini (isu penoreh getah) telah pun dibincangkan di Kabinet dan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak telah pun mengarahkan bantuan kepada penoreh getah. Bantuan yang sama (seperti pekebun kecil),'' katanya pada persidangan Dewan Rakyat di sini, hari ini.

Beliau menjawab soalan tambahan Datuk Othman Abdul (BN-Pendang) yang ingin tahu apakah langkah yang diambil kerajaan untuk membantu penoreh getah ekoran kejatuhan harga komoditi itu.

Uggah juga berkata kementerian mencadangkan Lembaga Getah Malaysia (LGM) diberi kuasa untuk menentukan harga diskaun bagi komoditi itu supaya ianya lebih berpatutan.

Beliau berkata cadangan itu juga untuk mengatasi masalah yang dihadapi dalam rantaian pemasaran sedia ada dan membantu meringankan bebanan pekebun kecil.

Katanya, cadangan berkenaan juga akan mengelakkan kewujudan pelbagai eksploitasi daripada orang tengah dalam rantaian pemasaran.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan Datuk Mahfuz Omar (PAS-Pokok Sena) yang meminta kerajaan mengkaji semula rantaian pemasaran supaya nasib penoreh lebih terbela berikutan kejatuhan harga getah.

Selain itu, berhubung penetapan harga lantai getah, Uggah yang juga Anggota Parlimen Betong berkata kerajaan sedang mempertimbangkan satu mekanisme yang sesuai untuk membantu pekebun kecil getah menangani kesan kejatuhan harga.

Beliau berkata mekanisme itu akan menetapkan satu paras harga sesuai dan munasabah supaya golongan itu memperolehi pendapatan berpatutan. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment