My Add

Monday 16 June 2014

PT3: Kementerian Pendidikan bakal beri penjelasan lanjut

* P. Kamalanathan beramah mesra dengan empat pelajar terbaik, Rozy Helvimayenty Anton (empat dari kiri), Mohammad Hafiz Zainuddin, Bainun Muhammed Rafi, dan Khalida Sari Effendi Said (kanan sekali) dalam Majlis Konvokesyen Kolej Teknologi YPC IT WEB di Kuala Lumpur, semalam. Turut kelihatan Syed Ali Alhabshee (dua dari kiri) dan Dr. Noel Robert. - UTUSAN/MD.SHAHJEHAN MAAMIN
KUALA LUMPUR, AHAD 15 Jun, 2014: Kementerian Pendidikan akan terus memberi penjelasan lanjut berhubung Ujian Pentaksiran Tingkatan Tiga (PT3) yang akan dilaksanakan Julai ini kepada ibu bapa dan guru dalam masa terdekat.

Timbalan Menteri Pendidikan II, P.Kamalanathan berkata, proses penjelasan ini akan dilaksanakan menerusi Pejabat Pendidikan Daerah (PPD), Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) dan Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) di sekolah masing-masing.

"Kementerian sedar bagi peringkat awal, ibu bapa dan guru memerlukan penjelasan memandangkan pelaksanaan sistem baharu itu adalah pertama kali dibuat, jadi dikhuatiri wujudnya kurang pemahaman dalam kalangan golongan tersebut.

"Malah, semua PPD dan JPN telah pun diarahkan untuk memberi penjelasan menerusi PIBG masing-masing. Buat masa ini, semua guru di seluruh negara sedang dan akan diberi taklimat lanjut. Jadi, jika guru masih mempunyai sebarang kemusykilan, mereka boleh rujuk PPD atau JPN yang bersedia menerangkannya," katanya dalam sidang akhbar di Majlis Konvokesyen Kolej Teknologi YPC IT Web, di sini hari ini.

Hadir sama, Pengerusi Kolej YPC, Datuk Seri Syed Ali Alhabshee dan Pengetua kolej Teknologi YPC-iTWEB, Dr. Noel Robert.

Seramai 181 graduan menerima ijazah dan diploma dalam majlis konvokesyen berkenaan, antara mereka ialah empat pelajar iaitu Khalida Sari Effendi Said, Bainun Muhammed Rafi, Mohammad Hafiz Zainuddin dan Rozy Helvimayenty Anton menerima anugerah pelajar terbaik bagi jurusan masing-masing.

Semalam, Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, PT3 bagi menggantikan Penilaian Menengah Rendah (PMR) akan bermula pada 1 Julai ini.

Menurut beliau, penilaian akan dimulakan dengan Instrumen Kajian Kes berbentuk kerja kursus bagi mata pelajaran Sejarah dan Geografi bermula 1 hingga 18 Julai, manakala ujian bertulis bagi 11 mata pelajaran lain pula akan diadakan pada 12 hingga 17 Oktober depan.

Jelas Kamalanathan, guru juga boleh mendapatkan maklumat sistem baharu itu menerusi laman sesawang lembaga peperiksaan.

"Di dalam portal lembaga peperiksaan terdapat maklumat cukup terperinci mengenai segala inisiatif kementerian pendidikan termasuk format, aplikasi PT3 dan maklumat lain berkaitan. Oleh itu, guru dan ibu bapa juga boleh melayari laman sesawang itu untuk memperoleh informasi lanjut.

"Yang paling penting adalah penglibatan ibu bapa dalam proses pelaksanaan sistem ini, kami memerlukan kerjasama daripada ibu bapa serta guru dan mahu mereka bertindak proaktif dengan melihat penilaian terlebih dahulu, baru mereka boleh lihat keberkesanan PT3 atau Pentaksiran Berasaskan Sekolah (PBS)," katanya. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment