My Add

Tuesday 3 June 2014

Polis Marin rampas 10 buah kenderaan penyeludup minyak

Oleh YATIMIN ABDULLAH

KOTA BHARU, SELASA 03 Jun, 2014: Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah Tiga Pengkalan Kubor merampas lima buah kereta dan lima buah pacuan empat roda jenis Pajero yang dipercayai digunakan untuk menyeludup petrol bersubsidi ke negara jiran di kawasan Pangkalan Haram Pak Adek, Kampung Simpangan dekat sini semalam.

Dalam serbuan kira-kira pukul 9 pagi itu, lelaki warga tempatan masing-masing berusia antara 40 hingga 50 tahun yang dipercayai pemilik kepada kenderaan tersebut turut ditahan.

Pegawai Pemerintahnya, Asisten Komisioner Mohd. Nawi Yunus berkata, kesemua barangan rampasan termasuk kenderaan dan bahan api bersubsidi itu bernilai RM150,000.

"Lima buah kereta tersebut ditahan dalam sebuah stor manakala pacuan empat roda itu kawasan luar berhampiran pangkalan haram tersebut.

"Kita mendapati kesemua tangki kereta ini diubah suai dan mampu mengisi kira-kira 300 liter petrol manakala tangki minyak pacuan empat roda tidak diubah suai kerana mampu mengisi petrol dalam jumlah yang banyak, sekitar RM200," jelasnya.

Tambahnya, kesemua barangan rampasan termasuk suspek yang terlibat akan diserahkan kepada pihak Pejabat Perdagangan Dalam Negeri Koperasi dan Kepenggunaan (PPDNKK) Kelantan untuk tindakan selanjutnya. - UTUSAN ONLINE

No comments:

Post a Comment