My Add

Sunday 1 June 2014

Rokok: Enam juta mati setiap tahun

Oleh LILIS SURIANI OMAR

KUALA LUMPUR, SABTU 31 Mei, 2014: Bersempena Hari Tanpa Tembakau 2014 yang disambut pada setiap 31 Mei, Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) menggesa kerajaan di seluruh dunia untuk menaikkan cukai terhadap produk tembakau bagi mengurangkan penggunaan bahan tersebut yang didapati membunuh hampir enam juta orang setiap tahun.

Bertemakan 'Tingkatkan Cukai Ke Atas Tembakau', pendekatan itu merupakan langkah paling berkesan dan kos efektif bagi kerajaan untuk mengawal penyebaran penggunaan tembakau melalui dasar-dasar yang secara langsung akan mengurangkan permintaan berbanding menggunakan cara lain misalnya pengharaman pengiklanan atau larangan merokok di tempat awam.

Menurut Timbalan Presiden Gabungan Persatuan-Persatuan Pengguna Malaysia (FOMCA), Muhammad Sha’ani Abdullah, pihaknya meminta kerajaan Malaysia memandang isu itu dengan lebih serius dengan melaksanakan saranan WHO ke arah melindungi masyarakat bukan sahaja kerana tahap kesihatan yang buruk tetapi juga daripada gejala sosial, alam sekitar dan ekonomi akibat penggunaan tembakau dan pendedahan kepada asap rokok.

“Daripada enam juta kematian itu, lebih 600,000 orang adalah bukan perokok dan mereka mati akibat terdedah kepada asap rokok sekunder. Jika kita tidak bertindak, lebih daripada lapan juta orang akan mati setiap tahun pada tahun 2030 disebabkan tembakau.

“Di bawah Konvensyen Rangka Kerja Kawalan Tembakau WHO (FCTC WHO) yang telah ditandatangani dan disahkan oleh Malaysia, negara-negara perlu melaksanakan dasar cukai dan harga ke atas produk tembakau sebagai satu cara untuk mengurangkan penggunaan tembakau," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Tambah beliau, kajian menunjukkan bahawa cukai yang lebih tinggi amat berkesan dalam mengurangkan penggunaan tembakau dalam kalangan golongan berpendapatan rendah dan mencegah orang muda daripada mula merokok.

“Laporan Kesihatan Dunia pada tahun 2010 menunjukkan peningkatan sebanyak 50 peratus dalam cukai eksais tembakau akan menjana lebih daripada USD 1.4 bilion (RM4.49 bilion) dalam dana tambahan di 22 buah negara berpendapatan rendah dan jika dana ini diperuntukkan kepada sektor kesihatan, belanjawan kesihatan di negara-negara ini boleh meningkat sehingga 50 peratus.

“Kenaikan cukai meningkatkan harga tembakau sebanyak 10 peratus, mengurangkan penggunaan tembakau sebanyak kira-kira empat peratus di negara-negara berpendapatan tinggi dan sehingga lapan peratus di negara-negara berpendapatan rendah dan sederhana," katanya.

Muhammad Sha'ani berkata, harga yang lebih tinggi mendorong pemberhentian dan mencegah permulaan penggunaan tembakau oleh golongan muda dan kanak-kanak di samping dapat mengurangkan kejadian pengulangan di kalangan mereka yang telah berhenti merokok.

“Pendapatan yang lebih rendah cenderung untuk membuat orang lebih sensitif terhadap perubahan harga. Kanak-kanak dan remaja juga lebih sensitif terhadap kenaikan harga daripada orang dewasa, membolehkan campur tangan harga untuk mempunyai kesan yang ketara kepada kumpulan umur ini.

“Sementara itu, kebanyakan kerajaan mengenakan cukai ke atas produk tembakau, termasuk cukai eksais, cukai nilai tambah (VAT) atau cukai jualan umum dan duti import. Daripada jumlah ini, cukai eksais tembakau produk yang paling penting bagi mencapai matlamat kesihatan penggunaan tembakau dikurangkan kerana ia unik digunakan untuk produk tembakau dan menaikkan harga berbanding dengan harga barangan dan perkhidmatan lain," jelasnya.

Justeru, katanya, kerajaan perlu segera melaksanakan langkah berkenaan dan dalam masa sama masyarakat harus sedar bahawa hasil tembakau sememangnya memudaratkan pengguna dan secara tidak langsung merugikan dari segi kos pembiayaan rawatan berkaitan atau kehilangan produktiviti akibat penyakit serta tabiatnya. = UTUSAN

No comments:

Post a Comment