My Add

Sunday 1 June 2014

Angkasa mahu jadi ejen GST

KUALA LUMPUR, SABTU 31 Mei, 2014: Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Berhad (Angkasa) meminta kerajaan mempertimbangkan cadangan agensi itu untuk menjadi ejen pengutipan bagi cukai barang dan perkhidmatan (GST).

Presidennya, Datuk Abdul Fattah Abdullah berkata, Angkasa telah menyatakan hasrat tersebut kepada Jabatan Kastam Diraja Malaysia dan dijangka satu jawatankuasa bagi meneliti perkara itu akan diwujudkan.

“Cadangan itu mengambil kira catatan rekod yang baik daripada Angkasa dalam sistem kewangan, termasuk pengendalian potongan gaji yang diamanahkan oleh akauntan negara sejak 1973.

“Mungkin Angkasa akan mulakan tugas tersebut (mengutip cukai berkaitan GST) dalam kalangan koperasi di seluruh negara dan jika pengurusan berjalan lancar, kaedah itu boleh diperluaskan kepada pihak swasta dan kerajaan," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas berucap pada Persidangan Kebangsaan Tahunan Angkasa Ke-30 di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini hari ini.

Abdul Fattah berkata, cadangan atau usul itu selain bertujuan membantu pihak kastam melaksanakan GST, ia selaras dengan hasrat kerajaan untuk melihat sektor koperasi terus kekal sebagai sektor ketiga dalam negara selepas sektor kerajaan dan swasta.

Dalam pada itu, beliau turut meminta kerajaan mengkaji semula pakej rancangan yang ditawarkan kepada Angkasa dan akta-akta berkaitan supaya suasana mesra koperasi dilihat sejajar dengan kepentingan sektor itu.

Katanya, banyak kementerian kini berjaya mencatat jumlah perolehan yang tinggi daripada perkhidmatan tetapi tidak memberi peluang kepada koperasi untuk menyertai sebagai entiti perniagaan.

“Untuk itu, Angkasa mencadangkan kementerian-kementerian dan agensi dapat membuka peluang tersebut kepada koperasi.

“Kita mahu ubah pandangan banyak pihak yang menganggap koperasi hanya untuk Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan," katanya.

Persidangan Angkasa kali ini yang disertai kira-kira 3,200 perwakilan dan 150 pemerhati dari seluruh negara menyaksikan pertandingan bagi jawatan Timbalan Presiden dan Naib Presiden. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment