My Add

Sunday 1 June 2014

Haram pilih insurans konvensional

KUALA LUMPUR, SABTU 31 Mei, 2014: Umat Islam diingatkan tidak memilih insurans konvensional kerana tidak mematuhi syariat Islam atau dengan kata lain adalah haram.

Pengarah Eksekutif Akademi Kajian Syariah Antarabangsa untuk Kewangan Islam, Prof. Dr. Mohamad Akram Laldin berkata, tiada istilah darurat bagi umat Islam untuk memilih insurans tersebut kerana ketika ini pelbagai syarikat telah menyediakan takaful yang berlandaskan syariat Islam.

Katanya, sehubungan itu umat Islam perlu bertanggungjawab mencari ilmu berhubung perkara tersebut bagi membolehkan mereka jelas tentang hukum yang telah ditetapkan agama.

“Insurans konvensional mempunyai unsur ketidakpastian, riba serta judi dan hukumnya haram sama seperti memakan babi atau minum arak dan tidak ada alasan dibolehkan kerana dalam Islam apa yang haram adalah haram, begitulah sebaliknya.

“Namun ketika ini, masih ramai umat Islam yang memilih insurans konvensional walaupun telah maklum tentang hukumnya dan sebab itu pentingnya perkara ini diterangkan kepada orang ramai dengan jelas," katanya selepas menyampaikan ceramah bertajuk 'Isu-isu semasa dalam industri takaful di Malaysia' pada Konvensyen Muamalat Kewangan Islam 2014 di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), di sini hari ini.

Dalam pada itu, Mohamad Akram turut mencadangkan agar lebih banyak pertubuhan tampil untuk mengadakan program penerangan berhubung perbezaan insurans dan takaful bagi memberi maklumat kepada orang Islam.

Katanya, sebagai negara kedua tertinggi dalam pasaran takaful selepas negara Iran, seharusnya umat Islam di negara ini lebih mengetahui tentang perkara tersebut.

“Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan telah lama memutuskan insurans konvensional haram dan seharusnya tiada lagi umat Islam memilih insurans itu, namun masih ramai yang mengambil mudah tentang perkara berkenaan.

“Oleh demikian, program penerangan tentang muamalat Islam perlu diperbanyakkan lagi bagi memudahkan umat Islam mendapatkan maklumat," ujarnya.

Beliau turut berharap takaful dapat menjadi alternatif kepada insurans konvensional yang bukan sahaja sah di sisi undang-undang malah membawa satu idea dan hala tuju kepada industri perlindungan berlandaskan syariat. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment