My Add

Saturday 21 June 2014

Tuanku Zara Salim diperkenan gelaran Raja Permaisuri Perak

Tuanku Zara Salim
IPOH, JUMAAT 20 Jun, 2014: Mesyuarat Dewan Negara Perak Kali Ke-159 yang buat pertama kalinya dipengerusikan oleh Sultan Nazrin Muizzuddin Shah sebagai Sultan Perak ke-35, telah memutuskan bahawa Tuanku Zara Salim diperkenankan gelaran Raja Permaisuri Perak berkuat kuasa hari ini.

Setiausaha Dewan Negara Perak, Toh Amar Seri Diraja Datuk Ayop Hashim berkata, berkuat kuasa hari ini juga, balu Almarhum Sultan Azlan Shah pula diperkenankan gelaran Raja Permaisuri Tuanku Bainun.

"Tarikh sambutan rasmi ulang tahun Hari Keputeraan Sultan Perak ditetapkan pada 27 November. Sambutan pertama ulang tahun tersebut akan dimulakan pada 2015," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Dalam pada itu, Ayop berkata, mesyuarat Dewan Negara Perak hari ini turut memutuskan Raja Di-Hilir Perak, Raja Jaafar Raja Muda Musa dinaikkan ke pangkat gelaran Raja Muda Perak berkuat kuasa hari ini.

Sementara itu, Raja Kechil Besar Perak, Raja Iskandar Dzulkarnain Almarhum Sultan Idris Shah dinaikkan ke pangkat gelaran Raja Di-Hilir Perak.

"Raja Azlan Muzzaffar Shah Sultan Nazrin Muizzuddin Shah pula dikurniakan pangkat gelaran Raja Kechil Besar Perak," katanya. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment