My Add

Saturday 21 June 2014

Tiga mengaku tidak salah terlibat aktiviti militan

KUALA LUMPUR, JUMAAT 20 Jun, 2014: Tiga lelaki yang sebelum ini didakwa di dua buah negeri atas tuduhan terlibat dengan aktiviti keganasan, hari ini mengaku tidak bersalah atas dakwaan tersebut ketika pertama kali dihadapkan di Mahkamah Tinggi di sini.

Mereka ialah Mohd. Armie Fatihah Mohamad Hashim, 22, dan Mohd. Hafiz Zahri Suparyatnoh, 28, yang sebelum ini didakwa di Mahkamah Majistret Taiping, Perak serta Mohd. Khairil Mi, 27, yang dituduh di Mahkamah Majistret Port Dickson, Negeri Sembilan.

Mohd. Armie dan Mohd. Hafiz Zahri didakwa dengan pengetahuan telah memberi sokongan kepada kumpulan pengganas yang dikenali sebagai `The Islamic State Of Iraq and Syam' (ISIS) selain menggalakkan perlakuan serta perbuatan keganasan dengan niat untuk memajukan suatu ideologi dengan niat untuk mengugut orang awam di Syria.

Kedua-dua penganggur itu didakwa melakukan perbuatan tersebut di Kampung Air Jernih, Ijok di antara pukul 10 pagi, 4 April dan 12.30 tengah hari, 6 April lalu.

Mohd. Khairil juga seorang penganggur, dituduh menggalakkan keganasan untuk memajukan ideologi dengan niat sama di sebuah inap desa di No. 36, Jalan 1 1/2, Taman Intan Perdana, Port Dickson antara pukul 10 malam, 1 November dan 3 petang, 3 November 2013.

Pada prosiding hari ini, Mohd. Khairil turut dikenakan dua lagi pertuduhan tambahan iaitu mengulangi perbuatannya di antara pukul 12 tengah hari, 25 Disember dan pukul 1 petang, 27 Disember 2013 di Gunung Arang Para, Kampung Nyior, Kuala Kangsar, Perak.

Dia juga didakwa melakukan perbuatan tersebut antara 4 dan 6 April lalu, di antara pukul 10 pagi dan 2.30 petang di Kampung Air Jernih, Ijok, Taiping.

Kedua-dua pertuduhan tambahan itu dibuat mengikut Seksyen 130G(a) Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara seumur hidup atau penjara tidak lebih 30 tahun dan denda.

Mana-mana harta yang telah digunakan atau diniatkan digunakan bagi kesalahan itu juga boleh dirampas oleh pihak berkuasa.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan-Timbalan Pendakwa Raya, Muhamad Iskandar Ahmad, Wan Shaharuddin Wan Ladin dan Afzainizam Abdul Aziz.

Kes itu akan disebut semula pada 21 Ogos ini bersama-sama kes suri rumah, Azizah Md. Yusof yang didakwa atas dua tuduhan memberi sokongan terhadap berlakunya perbuatan pengganas melalui laman sosial Facebook.

Pengakuan tidak bersalah wanita terbabit telah direkodkan mahkamah pada prosiding terdahulu.

Mohd. Armie diwakili peguam bela Ariff Azami Hussein; Mohd. Khairil oleh peguam bela, Collin Arvind Andrew manakala Azizah oleh peguam bela, Nadzarin Wok Nordin.

Mohd. Hafiz Zahri tidak diwakili peguam hari ini tetapi memaklumkan bahawa peguamnya akan hadir pada prosiding akan datang.

Selepas mahkamah merekodkan kesemua pengakuan, Muhamad Iskandar memberitahu, pendakwaan akan mengemukakan permohonan rasmi pada tarikh akan datang agar semua kes terhadap keempat-empat tertuduh dibicarakan bersama.

Kesemua peguam pula memaklumkan bahawa mereka akan mengemukakan bantahan awal terhadap permohonan terbabit. - UTUSAN

1 comment:

  1. Saya ingin fight kes ini balik Saya rasa sangat tidak Adil memandangkan kes LTTE tiada TANGKAPAN pada pemimpin Ltte Malaysia p.ramasamy yang amat terpengaruh dalam organisasi die banyak memberi ceramah memberi semangat kepada rakyat malaysia memberissokongan Dan mengumpul Dana ..pada Masa itu April 2014 tiada lagi MANA2 NEGARA mengeluarkan kenyataan bahawa I.S (pengganas) termasuk Malaysia..Saya memberi sOKONGan bukan kerana (i.s)tapi prihatin sedih kecewa disebabkan rakyat syira yang berjuang bermati2an Dan tiada pertolongan negara2 Lain seperti PBB Dan NATO..Pada awal 2014 ramai ustaz2 di Malaysia yang memberi ceramah keaadaan semasa di syira setiap Kali kuliyah mahgrib...MEMANG pada Masa itu Saya tidak TAHU menahu langsung pasal IS ni pengganas ..PERJUMPAAN diijok itu hanyalah utk mengetahui APA seebenar yang berlaku disana Dan semua itu dirancang penuh oleh pihak syaitan SB (Polis e8) perkemahan itu bukan tujuan utama utk mewujudkan kumpulann daulah


    pihak berkuasa Malaysia mengeluarkan AMARAN

    ReplyDelete