My Add

Thursday 19 June 2014

Tiga parah, bas langgar 4 kenderaan di Lebuhraya Persekutuan

SHAH ALAM, KHAMIS 19 Jun , 2014:Tiga orang cedera parah dalam kemalangan membabitkan sebuah bas henti-henti dengan empat kenderaan termasuk sebuah motosikal di KM16.1 Lebuhraya Persekutuan berdekatan Plaza Tol Batu Tiga di sini pagi tadi.

Dalam kejadian pukul 8.30 pagi itu, bas yang membawa 15 penumpang dari Klang ke Kuala Lumpur dikatakan cuba mengelak sebuah kenderaan pada laluan yang sama sebelum terbabas ke laluan bertentangan dan merempuh besi penghadang jalan.

Ketua Bahagian Trafik dan Ketenteraman Awam Ibu Pejabat Polis Daerah Shah Alam, DSP Goh Lee Shen berkata, bas berkenaan dipercayai hilang kawalan dan merempuh pembahagi jalan sehingga melanggar tiga kenderaan iaitu masing-masing sebuah Proton Wira, Toyota Camry dan Perodua Myvi yang datang dari arah bertentangan.

Katanya, bas itu kemudiannya merempuh satu lagi besi penghadang jalan di laluan motosikal dan melanggar sebuah motosikal yang sedang melalui laluan berkenaan sebelum terbabas ke kawasan berumput.

"Tiga mangsa mengalami kecederaan ialah penunggang motosikal, pemandu Proton Wira dan seorang penumpang bas," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Goh berkata kesemua mangsa dihantar ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah, Klang untuk rawatan lanjut. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment