My Add

Thursday 5 June 2014

Tingkat usaha capai sasaran tenaga kerja mahir
KUALA TERENGGANU, RABU 04 Jun, 2014: Hanya 28 peratus warga kerja tempatan yang terdiri daripada tenaga mahir berjaya dilahirkan sehingga kini ketika kerajaan menyasarkan peningkatannya akan mencapai 50 peratus menjelang 2020.

Timbalan Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri Ismail Abd. Muttalib berkata, justeru, usaha terus dipertingkatkan seiring dengan hasrat menjadikan Malaysia sebagai negara maju dan berdaya saing.

“Pada tahun 2020 kita sasarkan mempunyai kira-kira 13 juta pekerja dan separuh daripada itu mestilah pekerja mahir dalam pelbagai bidang," katanya kepada pemberita selepas menyempurnakan Majlis Konvokesyen Persijilan Kemahiran Malaysia peringkat negeri, di sini semalam.

Pada majlis itu, sebanyak 116 pelatih menerima Sijil Kemahiran Malaysia Skim Latihan Dual Nasional (SDSN) dan Sijil Kemahiran Malaysia Pengiktirafan Pencapaian Terdahulu (PPT) 2013/2014.

Mereka mengikuti kursus anjuran Pusat Latihan QAD Sdn. Bhd. dengan kerjasama Jabatan Pembangunan Kemahiran (JPK) Kementerian Sumber Manusia.

Yang turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Pembangunan Wanita dan Masyarakat ne­geri, Muhammad Pehimi Yusof.

Ismail berkata, kementerian melalui JPK telah melatih kira-kira 1.3 juta orang dalam pelbagai bidang kemahiran sejak dilaksanakan pada tahun 1986 dan pengambilan terus dipertingkatkan dengan mencecah kira-kira 100,000 setahun ketika ini.

Katanya, mereka ditempatkan di 1,300 pusat latihan kemahiran yang berdaftar dengan JPK di seluruh negara yang menawarkan seba­nyak 5,300 program kemahiran termasuk bidang minyak dan gas, teknologi maklumat, mekanikal, pastri, jahitan, makanan dan perhotelan.

Beliau memberitahu, kementerian juga memperuntukkan kira-kira-kira RM330 juta pada tahun ini untuk melaksanakan program tersebut.

Katanya, jalinan kerjasama antara kementerian dengan pusat latihan kemahiran adalah satu usaha kerajaan untuk melahirkan lebih ramai tenaga mahir dengan menggalakkan lepasan sekolah memilih bidang kemahiran sebagai kerjaya mereka.

“Masyarakat perlu memperbetulkan persepsi mengenai bidang kemahiran yang ditawarkan kerana ia setanding dengan bidang profesional lain.

“Persepsi sesetengah pihak bahawa bidang kemahiran sebagai pendidikan kelas kedua adalah tidak berasas sama sekali, malah ia memberikan pulang yang cukup lumayan sebagai pekerja atau usahawan," katanya.

Menurut Ismail, hanya 10 peratus pelajar lepasan menengah di negara ini menceburi bidang vokasional sedangkan di negara-negara maju, ia mencapai pada tahap 40 peratus. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment