My Add

Friday 13 June 2014

Track 4A: Kerajaan sudah timbang semua pilihan

 
PUTRAJAYA, KHAMIS 12 Jun, 2014: Kerajaan telah menimbangkan semua pilihan dan pendekatan terbaik dalam memutuskan untuk memberikan projek turbin gas kitaran bersepadu di Johor, yang dikenali sebagai Track 4A, kata Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air, Datuk Seri Dr. Maximus Ongkili (gambar).

"Segalanya teratur. Kabinet menimbangkan setiap sudut sebelum membuat keputusan membina segera loji 1,000-1,400 MW (megawatt) itu.

"Syarat-syaratnya sedang diputuskan oleh Suruhanjaya Tenaga," kata beliau dalam kenyataan di sini hari ini.

Ongkili berkata, keputusan untuk memberikan projek itu kepada SIPP Energy Sdn Bhd, dengan pe­nyertaan YTL Power International Bhd dan Tenaga Nasional Bhd

(TNB) sebagai anggota konsortium, dibuat setelah margin rizab penjanaan elektrik di Semenanjung Malaysia "tidak lagi selesa".

Beliau berkata, keperluan untuk meningkatkan margin rizab itu semakin perlu berikutan gangguan tenaga pada 7 Mei 2014 di Semenanjung apabila enam negeri terjejas.

"Pengendali sistem grid TNB menghadapi gangguan besar-besaran tidak dijangka dan perlu mengurangkan bebanan dalam usaha menstabilkan sistem itu.

"Gangguan ini melibatkan 3,860MW, terdiri daripada 3,000MW oleh jana kuasa TNB dan 860MW loji penjana kuasa bebas. Tindakan pantas TNB berjaya menstabilkan bekalan elektrik," katanya.

Bagaimanapun, kata Ongkili untuk menstabilkan sistem grid, TNB perlu mengimport elektrik enam kali dari Thailand dan dua kali dari Singapura, tahun ini.

"Angka-angka antara 2011 dan 2014 juga menunjukkan penurunan dalam margin rizab dan pengendalian. Margin rizab pada 2011 adalah 6,341MW, atau 41 peratus keupayaan dijana dan purata rizab pengendalian sebenar adalah 3,822MW.

"Pada 2014, margin rizab adalah 4,159MW (24.6 peratus) dan purata rizab pengendalian sebenar ialah 1,510MW (8.9 peratus)," katanya.

Ongkili berkata, kementerian menggunakan tiga konsep untuk mendapatkan loji janakuasa baharu iaitu pembidaan kompetitif, tender terpilih dan rundingan terus.

Beliau berkata, dalam me­nimbangkan senario perancangan jangka sederhana dan parameter pengendalian semasa, diputuskan bahawa wujud keperluan menyegerakan pembinaan loji jana kuasa kitaran gas bersepadu menggunakan teknologi terbukti yang dijadualkan beroperasi pada 2020, kepada tarikh lebih awal pada 2018.

Katanya, SIPP Energy diberikan projek itu berdasarkan kadar kompetitifnya diberikan dalam proses tender yang dimuktamadkan baru-baru ini bagi projek Track 3B.

"Oleh itu, dakwaan kadar tarif tidak munasabah bagi perjanjian pembelian tenaga itu tidak harus timbul sama sekali," katanya. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment