My Add

Monday 16 June 2014

Yaakob kecewa tindakan JPP parti

Oleh ABDUL YAZID ALIAS, ZULKIFLI SAINUDDIN dan ABDUL RAZAK IDRIS

SHAH ALAM, AHAD 15 Jun, 2014: Calon jawatan ketua cabang Parti Keadilan Rakyat (PKR) Shah Alam, Yaakop Sapari kecewa apabila hasratnya mahu mengedarkan bunga sempena Hari Bapa pada pemilihan semula cabang itu hari ini tidak dibenarkan oleh Jawatankuasa Pemilihan Pusat (JPP) parti itu.

Ketika ditemui di luar pekarangan Dewan Melati di Seksyen 7 di sini, beliau mendakwa, hasratnya itu tidak dibenarkan oleh JPP atas alasan menyalahi peraturan pemilihan.

"Saya ada merujuk kepada JPP untuk mengagihkan bunga kepada pengundi sempena Hari Bapa, tetapi tidak dibenarkan. Namun terpaksa akur dengan keputusan tersebut," katanya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kota Anggerik, di sini hari ini.

Beliau memberitahu, pemberian bunga sebagai tanda penghargaan itu bukan hanya dilakukan sempena sambutan Hari Bapa, sebaliknya amalan pemberian bunga itu turut dilakukannya dalam pelbagai sambutan lain seperti Hari Ibu.

Pada 11 Mei lalu, pemilihan PKR Cabang Shah Alam dihentikan empat jam lebih awal daripada tempoh yang sepatutnya apabila berlaku ketegangan melibatkan para penyokong calon-calon yang bertanding selain mendakwa proses pemilihan itu lemah dan tidak telus.

Pembatalan itu dibuat setelah wujudnya rasa tidak puas hati ahli-ahli parti yang mendakwa wujudnya pengundi yang membuang undi melebihi daripada sekali termasuklah calon ketua cabang yang berkempen di kawasan larangan serta kertas undi yang dipinda.

Malah ketika pemilihan cabang PKR tersebut Mei lalu, Yaakop menerusi laporan sebuah akhbar tempatan bertindak menegur lawannya, Rodziah Ismail yang juga ADUN Batu Tiga kerana mengedarkan bunga di pintu masuk Dewan Teratai, Seksyen 19, ketika proses pemilihan cabang itu berlangsung pada tarikh berkenaan.

Dalam pada itu, suasana pemilihan semula PKR Cabang Kapar di Dewan Sungai Pinang, Jalan Kapar, Klang hari ini berjalan lancar apabila hanya ahli berdaftar dibenarkan untuk mengundi.

Bagaimanapun, ahli cabang tetap merungut dan mahukan proses pengundian dilakukan penambahbaikan memandangkan masih ada pengundi yang buta huruf dan tidak mengetahui proses pemilihan parti, menghadapi masalah untuk menanda kertas undi.

Sementara itu, proses pemilihan semula PKR Cabang Klang di Dewan Sukan Pandamaran, Klang turut dilaporkan lancar berbanding 11 Mei lalu yang menyaksikan calon yang bertanding memboikot proses pemilihan cabang berkenaan.

Pada pemilihan cabang berkenaan bulan lalu, tiga calon ketua cabang berkenaan iaitu P. Krishnasamy, Zudin Asrmad dan Arahyah Ibrahim sepakat memboikot kerana mendakwa proses pemilihan tidak telus selain mendakwa wujudnya usaha mahu mensabotaj dengan menukarkan senarai calon yang diberikan kepada para pengundi.

Pemilihan semula PKR Cabang Klang bermula kira-kira pukul 10 pagi dan selesai kira-kira pukul 5 petang ini yang turut dihadiri oleh Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim. - UTUSAN 

No comments:

Post a Comment