My Add

Thursday 1 December 2011

Hina MB Perak: Empat lagi laporan polis dibuat






IKATAN Rakyat Insan Muslim membuat laporan polis di IPD Dang Wangi, Kuala Lumpur, semalam.



KUALA LUMPUR, KHAMIS, 01 Disember, 2011:
KENYATAAN Setiausaha DAP Perak, Nga Kor Ming yang didakwa menghina Menteri Besar Perak, Datuk Seri Dr. Zambry Abd. Kadir terus mendapat bantahan beberapa pemimpin politik dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO).

Empat lagi pihak semalam, tampil membuat laporan terhadap pemimpin pembangkang itu di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi di sini, meminta polis menyiasat kenyataannya yang berbaur perkauman selain boleh mengugat perpaduan masyarakat berbilang kaum.

 Mereka turut mendesak Kor Ming supaya segera memohon maaf secara terbuka terhadap Zambry.

Laporan polis itu masing-masing dibuat oleh Presiden Ikatan Rakyat Insan Muslim Malaysia (IRIMM), Amir Amsaa Alla Pitchay; Presiden Dewan Ekonomi dan Sosial Muslim Malaysia (DESMMA), Mohd. Fazil Abdullah; Ahli Majlis Tertinggi Parti Progresif Penduduk (PPP), Datuk Thajudeen Mohideen dan Ketua MIC Bahagian Wangsa Maju, S. Mohan.

Menurut Amir Amsaa, kata-kata hinaan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pantai Remis itu terhadap Zambry adalah perbuatan biadap dan menunjukkan beliau langsung tidak menghormati pemimpin tersebut.

Beliau berkata, Kor Ming bukanlah pemimpin DAP pertama bersikap perkauman kerana sebelum ini, rakannya, ADUN Komtar, Ng Wei Aik pernah didakwa mengeluarkan kenyataan kontroversi apabila menuduh dua wanita di Pulau Pinang yang berkahwin dengan rakyat asing sebagai pengkhianat negara.

"Kenyataan dikeluarkan oleh para pemimpin DAP ini menunjukkan mereka tidak sensitif terhadap isu perkauman. Jadi rakyat harus fikir masak-masak sebelum mengundi pembangkang," katanya kepada pemberita ketika ditemui selepas membuat laporan itu hari ini.

Pada sidang akhbar di luar Sidang DUN Perak baru-baru ini, ADUN Slim River, Datuk Mohd. Khusairi Abdul Talib mendedahkan Kor Ming menghina warna kulit Zambry pada satu ceramah Pas di Kamunting pada 9 September lalu dan beliau mempunyai bukti rakaman video.

Sementara itu, Mohd. Fazil meminta pemimpin tertinggi DAP yang berketurunan India agar tampil menyatakan pendirian mereka terhadap kenyataan Kor Ming yang dianggap telah menghina masyarakat India di negara ini.

Thajudeen pula berkata, ahli PPP di seluruh negara, tidak teragak-agak untuk membuat lebih banyak laporan polis dan mengadakan bantahan terhadap Kor Ming jika ADUN Pantai Remis itu tidak memohon maaf terhadap Zambry.

Dalam pada itu, Mohan berkata, perasaan masyarakat India di negara ini, cukup terguris dengan kenyataan Kor Ming yang seolah-olah memandang rendah terhadap kaum tersebut.

"Bila beliau cakap 'Zambry Hitam Metalik', kami rakyat Malaysia berketurunan India berasa kecil hati kerana kami juga berkulit gelap," katanya mendesak Kor Ming memohon maaf terhadap perbuatannya yang melukakan hati rakyat India di negara ini. - Utusan Malaysia

No comments:

Post a Comment