My Add

Thursday 15 December 2011

Bekas pelajar hilang selamat di Dublin

KUALA LUMPUR 14 Dis. - Bekas pelajar perubatan University College Dublin (UCD), Ariff Alfian Rosli, 28, yang dilaporkan hilang oleh keluarganya kelmarin berada dalam keadaan selamat di Dublin, Ireland.

Duta Malaysia ke Ireland, Datuk Ramli Naam yang mengesahkan perkara itu berkata, pihaknya maklum tentang kehadiran Ariff Alfian di negara itu sejak beliau masih dalam pengajian di UCD lagi.

Bagaimanapun, katanya, pihak kedutaan dan Wisma Putra tidak boleh mendedahkan maklumat terperinci bekas pelajar tajaan Petronas itu kerana menghormati Akta Data Perlindungan Peribadi Dublin, lapor  MUZDALIFAH MUSTAPHA dan WANDA IDRIS
Ariff Alfian Rosli


''Kerana itu juga Ibu Pejabat Imigresen Republik Ireland tidak boleh memberi maklumat berkaitan Ariff Alfian kepada ibu bapanya, ini kerana kita terikat dengan akta tersebut dan bukan seperti yang dilaporkan oleh ibu bapanya semalam.

''Status Ariff Alfian di sini sah termasuk dari segi visa dan segala dokumennya juga sah. Semua sah, tiada kesalahan. Justeru, beliau dibenarkan untuk menetap di sini.

"Namun, kita sebagai pihak yang terdekat dengan Ariff Alfian akan berusaha mendapatkan beliau supaya menghubungi keluarganya di Malaysia,'' katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Beliau mengulas laporan kehilangan Ariff Alfian yang dibuat oleh bapanya, Rosli Haron menerusi akhbar Utusan Malaysia kelmarin.

Sementara itu, Bahagian Konsular dan Bahagian Eropah Wisma Putra ketika dihubungi menjelaskan pihaknya telah mengambil langkah sewajarnya untuk mengesan pelajar terbabit selepas menerima laporan kehilangan pada 2009.

"Kami telah mengambil langkah sewajarnya untuk mengesan pelajar tersebut dan telah dimaklumkan pelajar itu mempunyai rekod yang sah untuk memasuki Ireland.

"Namun, percubaan untuk menghubungi beliau gagal kerana dia tidak mahu berjumpa pihak kedutaan mahupun keluarganya," kata sumber tersebut.

Dalam pada itu, Ketua Pengarah Kementerian Pengajian Tinggi, Prof. Datuk Dr. Rujhan Mustafa ketika dihubungi berkata, pihaknya dalam usaha mendapatkan maklumat terperinci mengenai bekas pelajar UCD itu daripada pelbagai pihak termasuk Petronas.

''Pegawai kita juga sedang mendapatkan maklumat daripada masyarakat Malaysia di Dublin. Kes ini juga dalam pemerhatian Wisma Putra,'' katanya.

Utusan Malaysia juga difahamkan pelajar terbabit pernah pulang ke tanah air pada pertengahan 2009 untuk meneruskan pengajian di universiti tempatan.

Bagaimanapun, pada November tahun yang sama, dia kembali semula ke Ireland dan terus menetap di republik tersebut dengan rekod perjalanan yang sah.

No comments:

Post a Comment