My Add

Saturday 3 December 2011

Berbincang dengan bahagian

Najib Tun Razak, Muhyiddin Yassin dan barisan Ahli Majlis Tertinggi terhibur ketika mendengar sesi perbahasan di Dewan Merdeka, PWTC, semalam.

KUALA LUMPUR, SABTU, 03 disember, 2011:
TIMBALAN Presiden UMNO, Tan Sri Muhyiddin Yassin memberi jaminan yang pucuk pimpinan akan berbincang dengan bahagian-bahagian parti untuk menentukan calon Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) tidak kira sama ada ia orang tempatan atau luar.

Beliau percaya kaedah yang lazimnya dilakukan Barisan Nasional (BN) apabila menghadapi pilihan raya kecil itu adalah cara terbaik untuk memilih calon yang mendapat sokongan di peringkat akar umbi.

''Sama ada yang kita pilih itu calon tempatan atau calon dari luar, kita tetap akan mengadakan perbincangan di peringkat bahagian sebelum membuat keputusan muktamad bagi memastikan calon yang dipilih itu benar-benar boleh membawa kemenangan,'' katanya.

Beliau berkata demikian ketika melawat bilik operasi akhbar Utusan Malaysia sempena Perhimpunan Agung UMNO 2011 di sini, semalam.

Kedatangan beliau disambut kakitangan Utusan diketuai oleh Pengarang Berita Kanan, Zulkefli Hamzah.

Beliau ditanya mengenai saranan beberapa perwakilan yang antara lain meminta pucuk pimpinan membincangkan soal pemilihan calon dengan bahagian.

Tegas Muhyiddin, hanya dengan sokongan tidak berbelah-bahagi di peringkat akar umbi, seorang calon yang dianggap 'winnable candidate' itu boleh membawa kemenangan kepada UMNO dan BN pada PRU13.

Beliau turut ditanya cadangan wakil Wilayah Persekutuan, Datuk Syed Ali Alhabshee supaya pucuk pimpinan mengambil tindakan terhadap ketua bahagian yang 'menyimpan' peruntukan pilihan raya untuk kepentingan peribadi termasuk bagi melobi jawatan dalam parti.

Menurut Muhyiddin, setakat ini pihaknya belum mendapat aduan rasmi siapa yang terlibat namun akan membuat pemantauan bagi memastikan perkara itu tidak berlaku dan menjejaskan persiapan jentera parti menghadapi pilihan raya.

Ditanya mengenai mutu perbahasan kali ini, Muhyiddin berkata, secara umumnya ia memuaskan walaupun ada antara pembahas yang sedikit menyimpang daripada isu yang menjadi fokus perhimpunan. - Utusan Malaysia

No comments:

Post a Comment