MELAKA, SABTU, 17 DISEMBER, 2011: Pesta Joget 1Malaysia Melaka 2011 berjaya memukau hampir 2,000 penonton tempatan dan luar negara yang tidak mengendahkan hujan renyai untuk menyaksikan persembahan meriah dan berwarna-warni di Dataran Dewan Tun Ali di sini, malam tadi.
Program yang berlangsung selama dua jam itu bertujuan mengangkat pelbagai versi joget seluruh Malaysia melalui rentak, gerak dan lagu yang dikoreografikan daripada gerak asal hingga kontemporari mengikut tujuh segmen yang menghimpunkan 500 artis kebudayaan pelbagai kaum dari seluruh negara.
Pelancaran program itu disempurnakan oleh Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Mohd Ali Rustam bersama Menteri Pelancongan, Datuk Seri Dr Ng Yen Yen dan Ketua Pengarah Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara, Datuk Norliza Rofli yang mewakili Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Seri Dr Rais Yatim.
Pesta Joget 1Malaysia Melaka 2011 adalah antara 20 acara yang dilaksanakan melalui jaringan kerjasama pintar antara Kementerian Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan (KPKK), Kementerian Pelancongan dan kerajaan negeri.
Berucap pada majlis tersebut, Norliza berkata kerjasama erat tersebut bertujuan mengangkat program seni budaya terpilih sebagai produk pelancongan untuk menarik dan dinikmati oleh pelancong ke negara ini serta menjadi sokongan penting kepada industri pelancongan negara.
"Sebanyak 20 program membabitkan 14 negeri, 20 lokasi dan 50 hari yang padat dengan aktiviti seni dan budaya termasuk pesta joget pada malam ini berjaya dianjurkan sepanjang tahun 2011 dengan jumlah khalayak seramai 350,000 di mana 28 peratus adalah khalayak antarabangsa," katanya.
Beliau berkata, penganjuran program itu adalah salah satu insiatif kementerian dan kerajaan negeri dalam usaha merapatkan hubungan muhibah, menjalin kemesraan di samping merakyatkan aktiviti seni budaya bagi komuniti setempat.
Katanya, secara tidak langsung ia mengajak semua lapisan masyarakat untuk bersama menghargai seni budaya tradisi di samping memupuk jati diri, semangat cintai seni dan budaya serta mengukuhkan persaudaraan dan hubungan muhibah di kalangan masyarakat pelbagai kaum di Malaysia khususnya di Melaka. - BERNAMA
No comments:
Post a Comment