My Add

Monday 26 December 2011

Jangan cuba runtuhkan semangat perpaduan kaum - Muhyiddin

KAJANG, ISNIN, 26 Disember, 2011: Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin memberi amaran terhadap mana-mana pihak yang cuba meruntuhkan semangat perpaduan kaum di negara ini.

Beliau berkata, semangat perpaduan antara kaum yang telah menjadi asas keharmonian negara sejak 54 tahun lepas perlu terus diperkukuhkan sebagai landasan untuk membawa Malaysia dan masyarakatnya menjadi sebuah negara berjaya dan maju pada 2020.

"Jangan ada pihak yang hendak meruntuhkan atau meleraikan segala asas yang telah terbentuk di atas kesepakatan dan kerjasama antara pimpinan yang datang dari pelbagai kaum keturunan dan agama.

"Kesefahaman ini perlu diperkukuh dan dipertahankan untuk melihat aspirasi menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara contoh yang boleh diikuti oleh negara-negara lain akan menjadi kenyataan tidak berapa lama lagi,” katanya ketika berucap sempena majlis Rumah Terbuka Malaysia Krismas 2011, di sini hari ini.

Hadir sama isteri beliau, Puan Sri Norainee Abdul Rahman; Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Seri Dr. Rais Yatim dan isteri, Datin Seri Masnah Rais. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment