My Add

Friday 2 December 2011

Janji Wanita kepada orang Melayu

KUALA LUMPUR, JUMAAT, 02 Disember, 2011:
KETUA Wanita UMNO, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil mewakili 1.3 juta ahli pergerakan itu hari ini berjanji kepada orang Melayu untuk mengembalikan maruah agama dan bangsa pada Pilihan Raya Umum Ke-13 nanti.

Kata beliau, sebagai tulang belakang UMNO, sayap itu pasti akan bekerja keras memastikan kemenangan menjadi milik parti bagi meneruskan pembelaan nasib rakyat.

“Apatah lagi, Presiden menyatakan semua ciri yang ada pada Wanita UMNO sememangnya perkara yang boleh membawa kepada kekuatan dan kemenangan pada pilihan raya.

“Dalam Wanita UMNO ada ciri-ciri taat setia, berkhidmat, berjuang dan berkorban. Ciri-ciri ini adalah yang dituntut oleh Presiden kita, kerana itu kita yakin Wanita UMNO boleh membawa perubahan,” katanya mengulas ucapan dasar Presiden UMNO, Datuk Seri Najib Tun Razak pada Perhimpunan Agung UMNO 2011 di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini, semalam.

Shahrizat menyeru kepada seluruh ahli pergerakan itu supaya menyebarkan amanat Presiden parti kepada semua wanita di seluruh negara iaitu penglibatan mereka dalam memperjuangkan nasib rakyat dan negara pada pilihan raya amat penting.

“Katakan kepada semua wanita bahawa jika UMNO tidak menang pada pilihan raya umum nanti, akan musnahlah bangsa, agama dan negara,” ujarnya.

Beliau seterusnya meminta seluruh rakyat terutama yang menyokong parti agar membantu perjalanan untuk mengembalikan orang Melayu kepada UMNO dan Barisan Nasional (BN). - UM

No comments:

Post a Comment