My Add

Wednesday 28 December 2011

Karnival Sayangi Selangor hari ini

SHAH ALAM, RABU, 28 Disember, 2011: Mulai hari ini, rakyat Selangor berpeluang beriadah bersama-sama keluarga sambil menyelesaikan urusan dan masalah mereka dengan agensi-agensi kerajaan sempena berlangsungnya Karnival Sayangi Selangor di i-City, selama empat hari.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dijadual merasmikan acara kemuncak karnival itu pada malam 31 Disember dengan mengira detik menjelang sambutan tahun baru 2012 bersama rakyat Selangor.

Menurut Pengarah Operasi karnival tersebut, Datuk Seri Ir. Mohd. Zin Mohamed , Menteri Pertahanan, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi dijadual merasmikan karnival itu pada Khamis ini serta melancarkan penerbangan Bangau LED.

Katanya, antara kementerian yang terlibat adalah Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat; Kementerian Belia dan Sukan; Kementerian Pelajaran; Kementerian Pengajian Tinggi; Kementerian Kesihatan dan Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani.

Pelbagai agensi kerajaan lain juga, katanya, membuka kaunter perkhidmatan masing-masing termasuk Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN).

‘‘Lalu lintas di kawasan sekitar i-City akan dikawal untuk memastikan kelicinan pergerakan kenderaan manakala tempat letak kereta dalam kawasan i-City adalah mencukupi,’’ katanya dalam satu kenyataan di sini semalam.

Beliau berkata, jualan dan pameran pelbagai jenis produk juga diadakan sepanjang karnival itu yang bermula pukul 9 pagi.

Menurutnya, pelbagai acara menarik disediakan seperti sukan kanak-kanak, pertunjukan pancaragam sekolah, pertandingan kugiran, pertandingan bola sepak jalanan, uji bakat karaoke dan persembahan artis-artis popular pelbagai kaum termasuk Najwa, Adam AF2, Daniel dan Mus dari kumpulan May.

Pengunjung juga jelas beliau, berpeluang memenangi banyak hadiah cabutan bertuah, perkhidmatan percuma menggunting rambut dan menghias kuku.

No comments:

Post a Comment