My Add

Monday 19 December 2011

KBS beri subsidi RM200, galakkan belia sertai program kemahiran

KUALA LUMPUR, ISNIN, 19 Disember, 2011: Kementerian Belia dan Sukan (KBS) menyediakan subsidi RM200 untuk menggalakkan belia menyertai program latihan Sijil Kemahiran Malaysia (SKM) yang dianjurkan dengan kerjasama Kementerian Sumber Manusia (KSM), kata Timbalan Menteri berkenaan, Gan Ping Sieu. 

Beliau berkata, menerusi pemberian subsidi itu, peserta hanya dikenakan yuran sebanyak RM100 saja untuk mengikuti latihan kemahiran yang ditawarkan.

"Ramai belia yang berkelayakan di luar sana tidak mengetahui bahawa mereka boleh menjalani latihan kemahiran dengan yuran semurah itu, jadi kita akan mempertingkatkan usaha dengan KSM bagi memastikan lebih ramai belia menyertai program sebegini," katanya selepas menyampaikan sijil Pentauliahan Pencapaian Terdahulu (PPT) kepada kira-kira 1,000 peserta daripada pelbagai bidang kemahiran di Pusat Belia Antarabangsa (IYC), Cheras di sini, hari ini.

Program itu yang meliputi pelbagai bidang kemahiran seperti automotif, hospitaliti dan spa mula diperkenalkan tahun lalu oleh KBS bermatlamat mengarusperdanakan latihan kemahiran melalui persijilan tunggal SKM. 

Beliau berkata, belia yang menyertai program berkenaan diwajibkan membuat sebuah 'portfolio' yang hampir menyerupai tesis bagi memastikan mereka layak mempunyai kemahiran dalam sesuatu bidang. 

"Portfolio ini penting kerana banyak syarikat multinasional asing yang melabur di negara ini perlu mengikuti pensijilan ISO ditetapkan oleh kerajaan. 

"Selaras dengan penetapan itu, maka mereka (syarikat multinasional asing) perlu mencari pekerja yang berkemahiran," katanya. 

Sementara itu, Gan berkata, KBS melalui Bahagian Pembangunan Kemahiran yakin dapat mencapai sasaran penyertaan 5,000 belia untuk mendapatkan penganugerahan SKM melalui program PPT pada tahun depan. 

Timbalan Menteri itu berkata, keyakinan itu berdasarkan penyertaan menggalakkan sebanyak 3,500 belia berbanding 3,000 yang disasarkan pada peringkat awal bagi tahun lalu untuk program berkenaan. 

"Saya yakin melalui kerjasama erat yang terjalin antara Jabatan Pembangunan Kemahiran, Kementerian Sumber Manusia dan Bahagian Pembangunan Kemahiran di peringkat kementerian sejak tahun lalu, kita mampu merealisasikan sasaran itu," katanya. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment