My Add

Wednesday 28 December 2011

Keadaan banjir bertambah baik, jumlah mangsa berkurangan

KUALA LUMPUR, rabu, 28 Disember, 2011: Keadaan banjir di beberapa daerah di empat negeri menunjukkan tanda-tanda bertambah baik setakat 11 pagi ini dengan bilangan mangsa yang berada di pusat pemindahan menurun berbanding semalam.

Sarawak kekal merekodkan jumlah mangsa tertinggi dengan 3,999 orang berbanding 7,592 semalam, membabitkan empat daerah dan ditempatkan di 20 pusat pemindahan.

Jurucakap Bilik Gerakan Banjir negeri berkata, Samarahan mencatatkan bilangan mangsa tertinggi dengan 3,123 mangsa daripada 743 keluarga, diikuti Kuching (648 orang daripada 168 keluarga), Sibu (128 mangsa daripada 30 keluarga) dan Sri Aman dengan 100 mangsa membabitkan 32 keluarga.

Paras air juga mula surut setakat ini, membolehkan penduduk kembali ke rumah masing-masing, namun keadaan masih diletak dalam kategori berjaga-jaga kerana paras air laut akan meningkat kembali pada sebelah petang, katanya ketika dihubungi.

Di JOHOR, jumlah mangsa banjir menurun kepada 1,075 orang pagi ini berbanding 1,177 orang, petang semalam.

Menurut portal Majlis Keselamatan Negara, setakat pukul 10 pagi tadi, kesemua mereka ditempatkan di 17 pusat pemindahan iaitu lapan di Segamat, enam di Mersing dan tiga di Batu Pahat.

Di PAHANG, jumlah mangsa banjir yang masih berada di pusat pemindahan di Rompin kini hanya tinggal 67 orang berbanding 567 petang semalam.

Di SANDAKAN, jumlah mangsa banjir Kampung Gum-Gum dekat sini yang dipindahkan ke pusat pemindahan juga menurun secara drastik kepada 57 orang setakat 10 pagi ini berbanding 351 orang petang semalam. – BERNAMA

No comments:

Post a Comment