My Add

Friday 16 December 2011

Mohamad Lockman terima anugerah 'Airman Of The Year 2011'

KUALA LUMPUR, JUMAAT, 16 Disember, 2011: SEORANG anggota Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) yang terlibat dalam "Operasi Fajar" bagi membebaskan sebuah kapal dagang Malaysia daripada lanun Somalia di Teluk Aden awal tahun ini, menerima anugerah 'Airman of The Year 2011' sebagai menghargai pencapaiannya itu. 

Anggota Pasukan Khas Udara (Paskau), Sarjan Udara Mohamad Lockman Abdul Jabar, 32, adalah antara tiga warga TUDM yang menerima anugerah itu daripada Panglima TUDM Jen Tan Sri Rodzali Daud di Pangkalan Udara TUDM, Subang, dekat sini hari ini.

"Anugerah ini diberi berdasarkan penilaian keperibadian berwibawa dalam aspek integriti, keberanian, kecemerlangan, setiakawan serta mengutamakan perkhidmatan," kata anak kelahiran Kluang, Johor, itu kepada pemberita.

Dalam kejadian kira-kira 11.40 malam Januari lalu, tujuh lanun Somalia bersenjatakan AK-47 dan pistol menyerang dan menawan kapal MT Bunga Laurel yang disewa Perbadanan Perkapalan Antarabangsa Malaysia (MISC) Berhad kira-kira 333 batu nautika (555km) dari timur Oman. 

Namun, tindakan pantas Pasukan Khas Laut Angkatan Tentera Malaysia (ATM) berjaya menyelamatkan kapal dagang bersama 23 anak kapal berkenaan yang belayar di Teluk Aden. 

Dalam ucapannya, Rodzali berkata anugerah yang dicetuskannya itu wajar dijadikan pemangkin kepada seluruh warga TUDM untuk bersaing bagi mencapai prestasi lebih tinggi dan menyumbang kepada pembangunan modal insan pasukan. 

"Kekuatan sesuatu pasukan TUDM terletak bukan sahaja kepada kecanggihan senjata semata-mata tetapi juga kekuatan mental, fizikal dan rohani," katanya. 
Dua lagi penerima anugerah berkenaan ialah Pegawai Waran Udara 1, Azmi Bakar dan Koperal Udara Norafiszal Sabran. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment